‘Bronze Award’ Hadiah Paling Bermakna Buat Siti Khadijah Sempena Ulang Tahun ke-10

Putra Brand Award 2019

‘Bronze Award’ Hadiah Paling Bermakna Buat Siti Khadijah Sempena Ulang Tahun ke-10 | Tahun 2019 sememangnya tahun yang membawa 1001 makna buat Siti Khadijah apabila dinobatkan “Bronze Award” Top Brand bagi kategori Apparel & Accessories sempena Anugerah Putra Brand 2019 yang telah berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Anugerah itu merupakan suatu pengiktirafan yang cukup besar dan lebih bermakna buat Siti Khadijah yang telah mengukuhkan perniagaan selama 10 tahun.

Bronze Award yang dimenangi oleh SIti Khadijah

Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. Anugerah Putra Brand 2019 ini telah dianjurkan oleh Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), disokong oleh Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4A’s) berkolaborasi dengan Branding Association of Malaysia (BAM), Media Specialists Association (MSA) dan Malaysian Digital Association.

Alhamdulillah, walaupun hanya mendapat Bronze Award bagi kategori Apparel & Accessories, saya menganggap ini adalah suatu hadiah yang cukup bermakna, kerana tahun ini juga merupakan 10 tahun SK ditubuhkan. Ini juga merupakan satu batu loncatan dan semangat buat SK untuk terus bekerja keras untuk masa akan datang bagi menepati citarasa pengguna setia kami. Syukur, Alhamdulillah.
Puan Hajah Padzilah Enda Sulaiman, Pengasas Siti Khadijah

Pada malam Anugerah Putra Brand 2019 menyaksikan para pemenang dipilih berdasarkan tinjauan dilakukan ke atas 8,000 pengguna, berdasarkan faktor keinginan pengguna untuk membeli produk dan perkhidmatan yang dicalonkan. Sebanyak 129 Anugerah daripada 23 kategori dipertandingkan dalam anugerah itu bagi tahun ini. Samsung dan Astro juga antara pemenang Anugerah Putra Brand 2019 dalam kategori berlainan yang ditawarkan.

Team Siti Khadijah
Bronze Award di Putra Brand Award

Dalam masa yang sama, Presiden Presiden Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), Andrew Lee berkata, dalam tempoh 10 tahun lalu, industri di negara ini menyaksikan pelbagai perubahan yang lebih tertumpu kepada kesedaran dan tingkah laku pengguna. Ia juga melibatkan impak dalam bidang teknologi dengan platform baharu termasuk koleksi data dan analisis. Malah tingkah laku dan kehendak pengguna telah berubah, mereka lebih menghargai serta memilih produk yang dapat memberi kesan serta
inspirasi kepada mereka.

Anugerah Putra Brand yang telah dilancarkan dari tahun 2010, ialah inisiatif Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk mengiktiraf jenama yang paling dekat di hati rakyat Malaysia dengan penilaian berdasarkan pilihan pengguna.


MENGENAI SITI KHADIJAH
Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SK) merupakan syarikat pengeluar telekung nombor satu Malaysia dengan keunikan dan rekaan inovatif di bahagian wajah.

Telekung ialah pakaian istimewa wanita di Kepulauan Melayu yang dipakai setiap kali bersolat dan sinonim dengan budaya Melayu. SK memperkenalkan rekaan yang dipatenkan fokus kepada potongan unik bahagian wajah dengan kombinasi fabrik berkualiti tinggi untuk memastikan keselesaan ketika beribadah. Material mudah regang sesuai untuk setiap bentuk dan saiz wajah wanita. Koleksi telekung SK menawarkan empat unik rekaan wajah yang berbeza dengan rekaan telekung biasa. Material yang digunakan hanya daripada fabrik kualiti terbaik seperti kapas, cotton-feel, rayon dan sutera dengan sentuhan perincian renda yang disulam indah. Selain daripada telekung, SK turut menawarkan koleksi pakaian khas untuk jemaah Umrah dan Haji. Antara produk lain yang
ditawarkan termasuklah hijab, sarung lengan, abaya, baju kurung tradisional dan pelbagai aksesori.

Sejak 2009, Siti Khadijah dinamakan sebagai jenama isi rumah di Malaysia dan berkembang luas dengan lebih 34 cawangan sekitar Malaysia dan Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *