Lagu Mamak Maju Dalam Ejen Ali The Movie Jadi Viral

mamak maju

Lagu Mamak Maju Dalam Ejen Ali The Movie Jadi Viral | Janggal jika ada yang tidak pernah melepak di restoran ‘mamak’.  Restoran ‘mamak’ yang sentiasa menjadi pilihan lokasi melepak setiap rakyat Malaysia kini menjadi bualan hangat apabila filem EJEN ALI THE MOVIE  berjaya mengangkat babak di restoran ‘mamak’ sehingga menjadi viral.  Kemunculan babak nyanyian dan tarian lagu Mamak Maju yang ditayangkan di pawagam bermula 28 November 2019 telah berjaya mengeletek hati penonton.

Mamak Maju trending di YouTube

Lagu Mamak Maju telah menjadi sensasi dan menerima respon yang positif dari netizen kerana melodinya yang menghiburkan. Gerak tari lagu ini pada awalnya hanyalah sebuah koreografi yang menjadi gimik persembahan bagi aktiviti ‘flash mob’ sewaktu Malam Tayangan Perdana filem EJEN ALI THE MOVIE yang berlangsung pada 19 November 2019. Video persembahan ‘flashmob’ yang diketuai oleh maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia serta kakitangan Primeworks Studios mendapat sambutan yang luar biasa daripada netizen.

Sehingga 7 Disember 2019, babak ‘mamak’ dari filem itu telah meraih lebih daripada 1.1 juta jumlah tontonan di laman Youtube.  Lagu  Mamak Maju melambangkan identiti dan semangat Malaysia yang meliputi kepelbagaian kaum dan keunikan budaya. Tarian Mamak Maju semakin mendapat perhatian selepas tampil di dalam slot Malaysia Hari Ini (MHI) pada 4 Disember 2019.

Tutorial tarian Mamak Maju menjadi fenomena yang luar biasa sejurus ia dimuatnaik di laman Instagram rasmi Ejen Ali. Lantaran dari kejayaan tersebut, kempen #MamakMajuDanceChallenge dilancarkan di akaun Instagram rasmi Ejen Ali yang mana lima video terbaik berpeluang menerima tiket untuk menonton filem EJEN ALI THE MOVIE secara percuma. Kempen ini akan berakhir pada 8 Disember 2019.

Azri Yunus, komposer utama filem EJEN ALI THE MOVIE mendedahkan “Inspirasi disebalik lagu ini adalah hasil cetusan idea pengarah filem, Usamah Zaid Yasin yang mana beliau  ingin mewujudkan satu babak yang sinonim dan ikonik dengan budaya rakyat Malaysia melalui aktiviti yang menjadi kegilaan ramai iaitu ‘melepak’ di restoran ‘mamak’. Idea tersebut seterusnya disesuaikan ke dalam lirik lagu dalam bahasa Melayu sebelum beberapa bahagian lirik diterjemahkan ke bahasa Tamil, dibantu oleh dua rakan sekerja kami. Hakim Kamal, penolong komposer merangkap penyanyi utama lagu tersebut turut menambah “Agak sukar untuk saya menyebut sebutan bahasa Tamil yang tepat pada mulanya namun, selepas beberapa bulan menjalani latihan, rakan-rakan berbangsa sekerja berbangsa India memuji dan mengatakan bahawa sebutan saya jauh lebih baik dari mereka!”

Berikut adalah komen-komen positif yang diterima dari netizen selepas tiga hari video Mamak Maju dimuatnaik dan meraih lebih daripada 1.1 juta jumlah tontonan di laman Youtube dan Twitter :

komen lagu Mamak Maju 1
komen lagu Mamak Maju 2
komen lagu Mamak Maju 3
komen lagu Mamak Maju 4
komen lagu Mamak Maju 5

Filem Ejen Ali The Movie telah mencatat kutipan lebih RM13 juta selepas satu minggu ditayangkan di pawagam serentak bermula 28 November 2019 di tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei. 

Ejen Ali The Movie mengisahkan tentang Ali, seorang budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet  istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baharu ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh seorang individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *