Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim di Masjid Usamah Bin Zaid

Majlis Iftar RMHC

Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim di Masjid Usamah Bin Zaid | Sempena mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia, McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC), dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menganjurkan Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim di Masjid Usamah Bin Zaid di Wangsu Maju, Kuala Lumpur.

Majlis Iftar bersama anak-anak yatim

Seramai 500 orang anak-anak yatim dari Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Rumah Perlindungan Nur Qaseh, Rumah Anak Yatim Nur Iman Danau Kota Setapak, Titian Kasih, Pusat Jagaan Kasih Murni, Darul Fikir, Baitul Hasanah, Pertubuhan Rumah Anak Yatim Ulin Nuha, Rumah Penyayang Darul Ilmi dan Baitul Ehsan menjadi tetamu khas pada malam ini. Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan RM5,000 dari RMHC.

Lebih bermakna lagi, sambutan majlis berbuka puasa ini turut di hadiri oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menyampaikan tazkirah kepada semua tetamu yang hadir khususnya kepada anak-anak yatim.

Turut hadir pada majlis ini adalah Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP dan Azhar Darbi, Pengarah Kanan Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman, McDonald’s Malaysia.

“McDonald’s Malaysia amat berbesar hati menerima kehadiran lebih 500 anak-anak dari 10 rumah kebajikan pada malam ini dan berharap majlis ini dapat menyerikan lagi sambutan bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Sebagai sebuah syarikat milik individu Islam, kami turut melaksanakan kewajipan kami untuk membayar zakat bagi membantu serta memberi manfaat kepada golongan fakir miskin di Malaysia,” kata Azhar.

Majlis Iftar anjuran RMHC, PPZ-MAIWP

Program ini bertujuan untuk mengeratkan ukhwah di antara PPZ-MAIWP dan McDonald’s Malaysia yang merupakan pembayar zakat perniagaan di PPZ-MAIWP. Melalui program tanggungjawab sosial korporat, majlis ini juga adalah sebagai tanda keprihatinan kedua-dua pihak dengan meraikan Ramadan bersama insan-insan yang kurang bernasib baik disamping menyemarakkan budaya bersedekah.

McDonald’s Malaysia pada tahun ini komited meneruskan pelbagai aktiviti tahunan lain sempena sambutan bulan Ramadan, antaranya termasuklah tajaan moreh di surau-surau dan masjid-masjid di sekitar lokasi restorannya, serta tajaan moreh di institusi- institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.

Penglibatan dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan setempat juga merupakan aktiviti yang sering dijalankan di restoran-restoran McDonald’s di Malaysia. Sejak tahun 2016 sehingga kini, lebih dari 10,000 aktiviti bersama komuniti telah dijalankan oleh restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara.

Di samping itu, inisiatif kemasyarakatan jangka panjang – Anugerah Guru Inspirasi –  telah diperkenalkan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada guru-guru terpilih yang telah melaksanakan tugas mereka lebih dari seorang pengajar dan memberi impak positif kepada pelajar dan komuniti. Manakala, ‘Bulan Komuniti’ pula adalah satu inisiatif  di bulan Oktober setiap tahun bersempena dengan Hari Kanak-Kanak Malaysia yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang difokuskan kepada kanak-kanak.

”Ibadah Zakat Pelengkap Ramadan”

One thought on “Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim di Masjid Usamah Bin Zaid

Leave a Reply