Projek57 Dialog Pupuk Perpaduan dan Perkasakan Belia Malaysia

Projek57 logo

Projek57 Dialog Pupuk Perpaduan dan Perkasakan Belia Malaysia | Memandangkan belia berusia 18 tahun dan ke atas di Malaysia kini boleh mengundi, ramai yang tertanya-tanya sama ada tanggungjawab dan hak yang diberikan itu benar-benar difahami oleh generasi muda di negara ini.

Projek57 Sempena Hari Kebangsaan

Menjelang sambutan ulang tahun Kemerdekaan dan Hari Malaysia, syarikat sosial berpacukan perpaduan Projek57 menganjurkan Sesi Dialog untuk mengupas prinsip asasnya, menerusi kerjasama dengan Universiti Malaya dan organisasi masyarakat sivil G25 Malaysia.

Sesi Dialog bertemakan ‘#Undi18 dan kesannya terhadap masa depan Malaysia’ telah dianjurkan sebagai sebahagian daripada kempen Unity Ribbon 2.0 Projek57 ‘Maka Kami, Rakyat Malaysia’ yang sedang berlangsung,yang bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme, perpaduan dan pemerkasaan belia di negara ini bagi mengatasi halangan dan menyerlahkan potensi penuh mereka.

Projek57 sentiasa berusaha untuk menyokong dan memperkasakan belia

Sejak dimulakan pada 2015, Projek57 sentiasa berusaha untuk menyokong dan memperkasakan belia. Kerjasama dengan Universiti Malaya dan G25 Malaysia ialah projek terbaharu yang dilaksanakan oleh Projek57 untuk menyuntik semangat patriotisme, perpaduan dan pembinaan negara dalam kalangan belia Malaysia. Nilai-nilai teras ini membentuk asas syarikat sosial ini dan menjadi nadi penggerak di sebalik misinya untuk menghidupkan pergerakan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat yang berasa bangga, yang bersatu serta berdiri sebagai sebuah negara, dan pada masa yang sama, menambah baik kehidupan masyarakat yang kurang bernasib baik.

Panelis Projek57

Lima orang ahli panel terdiri daripada Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, pengasas G25 dan bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad; Dr. Azmi Sharom, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia; George Ang, mantan Presiden Entrepreneurs Organisation Malaysia; Naznur Farahani Md. Yusof, Perdana Fellow kepada YB Waytha Moorthy Ponnusamy dan pemimpin pelajar Universiti Malaya; dan juga Shangkharee Nadarajan, graduan perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan kini merupakan pengarang, penerbit dan pengacara yang bertindak sebagai  moderator bagi sesi dialog. 

Tan Sri Mohd Sheriff berkata, “Kita perlu sentiasa melibatkan belia dan mendengar pandangan mereka. Masa depan kita terletak di tangan mereka. Peranan kami adalah sebagai pembimbing yang sedia mendengar, jika mereka mahu memanfaatkan pengalaman kita.”

“Kami rasa sukacita dengan keterujaan belia terhadap Undi18. Memang menarik untuk mendengar pandangan dan aspirasi mereka dalam acara seperti ini,” kata Dr. Azmi.

George berkata, “Kita memerlukan lebih banyak wacana seperti ini. Masa depan kita bergantung pada golongan belia Malaysia. Peranan kita sekarang ialah memastikan kekuatan platform perniagaan dan sosioekonomi, supaya mereka boleh berkembang maju. Saya amat positif tentang masa depan Malaysia selepas mendengar pandangan belia yang turut serta.”

Naznur berkata, “Sebagai pelajar Universiti Malaya, saya berbangga untuk bersama-sama dengan Projek57 dan G25 dalam perbincangan perpaduan ini  yang menyediakan wadah untuk berkongsi pandangan saya tentang topik yang dekat di hati sebagai anak muda Malaysia. Undi18 memberi peluang kepada belia Malaysia untuk menyuarakan pandangan terhadap isu-isu penting, yang menjadi asas mana-mana perbincangan tentang pemerkasaan dan demokrasi penyertaan.”

Shangkharee menambah, “Komuniti belia lebih maklum daripada yang disangkakan. Ramai antara kami bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam apa yang kami lakukan dan bagaimana kami boleh membawa perubahan dengan Undi18. Tetapi kami juga amat menyedari mengapa perpaduan dalam kalangan semua rakyat Malaysia adalah faktor yang lebih penting dalam perjalanan kita untuk menjadi sebuah negara progresif yang menghormati kepelbagaian. Inisiatif seperti yang dijalankan oleh Projek57 boleh membina semangat patriotisme dan menyerlahkan kebaikan dalam diri kita.”

Projek57 memulakan kempen rebennya pada tahun lepas sebagai sebahagian daripada pergerakan berterusannya dalam melahirkan rakyat Malaysia yang berasa bangga serta menekankan keperluan untuk menyebarkan semangat patriotisme dalam kalangan semua rakyat Malaysia.

Reben buatan tangan, yang diilhamkan oleh Jalur Gemilang, melambangkan harapan, patriotisme dan rasa hormat kepada kepelbagaian. Jika kempen tahun lepas menarik 165,000 rakyat Malaysia untuk memakai reben ini, Unity Ribbon 2.0 berhasrat untuk menarik 200,000 orang. Reben ini juga memaparkan rupa bentuk ikon Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman, dalam warna emas.  

Menurut pengasas bersama Projek57, Syed Sadiq Albar dan Collin Swee, reben ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia untuk berbangga menjadi rakyat Malaysia sambil menghayati kepelbagaian dan perbezaan, supaya negara dan rakyatnya boleh bergerak ke hadapan sebagai satu.

Swee berkata, “Kami faham betapa pentingnya semangat patriotisme kepada sesebuah negara. Kami berpacukan semangat ini dalam semua projek kami untuk menggalakkan pembangunan negara dan menghidupkan semangat kekitaan agar rakyat Malaysia berbangga dengan siapa diri kita. Kali ini, kami berharap prinsip-prinsip di sebalik dialog ini akan meningkatkan kesedaran tentang Undi18, sambil menggalakkan belia menggunakan hak mereka untuk mengundi.”

Syed Sadiq menambah, “Tahun ini akan dikenang buat selamanya sebagai tahun perubahan bagi Malaysia dengan usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun buat pertama kalinya dalam sejarah negara. Kita mesti terus mengadakan dialog seperti ini supaya generasi muda boleh memahami bagaimana mereka boleh menyumbang kepada pembentukan negara, dan untuk menekankan pentingnya menghormati perbezaan antara kita supaya semua rakyat Malaysia boleh melangkah maju bersama-sama.”

Reben ini kini boleh didapati pada harga RM3.00 setiap satu. Semua keuntungan daripada jualan akan digunakan untuk pendidikan dan pemerkasaan golongan yang kurang bernasib baik.  

Reben boleh dibeli di https://www.projek57.com/unity-ribbon/, kedai myNEWS.com di seluruh negara, restoran A&W di seluruh Malaysia dan juga cawangan am Pejabat Pos Malaysia di setiap negeri. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.projek57.com/unity-ribbon/.

Leave a Reply