Raja Syahiran & Twenty2 Squad Muncul Juara Mingg Ke-3

Dansa dan Sing logo

Raja Syahiran & Twenty2 Squad Muncul Juara Mingg Ke-3 | Konsert Dansa Dan Sing minggu ketiga bertemakan ‘Vice Versa Irama’ Ahad lalu menyaksikan kehebatan Raja Syahiran & Twenty2 Squad yang berjaya menterjemahkan tema tersebut menerusi persembahan padu untuk lagu ‘Mantera Beradu’ nyanyian asal oleh penyanyi tersohor Dato’ M.Nasir dan Malique. Cabaran minggu lalu memerlukan para peserta untuk menukar susun atur irama melodi lagu asal yang diberikan mengikut kreativiti masing-masing. Pertaruhan Raja Syahiran dan ahli troopers beliau ternyata menjadi apabila muncul sebagai juara mingguan dengan markah tertinggi daripada barisan juri yang terdiri daripada Datuk Rizalman, Linda Jasmine dan Dato’ AC Mizal sebanyak 93.50%.

Raja Syahiran & 2Twenty2 Squad diangkat sebagai juara mingguan sewaktu konsert ketiga yang lalu setelah memberikan persembahan padu menerusi lagu ‘Mantera Beradu’ yang pernah dipopularkan oleh Dato’ M. Nasir &  Malique

Manakala perjuangan Nik Qistina & DP Fam pula terkandas di minggu ketiga apabila diumumkan sebagai peserta kedua yang terpaksa meninggalkan pentas Dansa Dan Sing setelah menerima markah terendah daripada pihak juri iaitu sebanyak 51.67%. Meskipun cuba menyuntik kelainan dengan membawakan lenggok Bollywood menerusi lagu  ‘Jampi’ yang pernah dipopularkan oleh Hael Husaini, namun ternyata ia masih belum mampu menambat hati juri sekaligus memancing undian yang tinggi daripada peminat. Selain Nik Qistina, Arja & The Pirates serta Atilia, Yasmin Hani & The Lola masih tidak menunjukkan perkembangan dari minggu ke minggu kerana masih berada di kedudukan bahaya tiga terendah pada minggu lalu. Namun, nasib masih menyebelahi Atilia, Yasmin Hani dan Arja yang terselamat untuk terus mara ke pusingan seterusnya.

Nik Qistina & DP Fam menjadi peserta kedua yang meninggalkan pentas ‘Dansa Dan Sing’ minggu lalu

Untuk konsert minggu keempat pada Ahad ini, para peserta diberi tugasan ‘Dance Jam’ bertemakan ‘Ekspresi Emosi’ yang mana para peserta diberi cabaran untuk menterjemahkan ekspresi lirik lagu menjadi sebuah penceritaan dalam persembahan. Persembahan siapakah yang menonjol pada minggu ini? Jom bersama Naz ke Konsert Dansa Dan Sing minggu ke-4 yang akan berlangsung secara live di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad malam nanti.

8 peserta ‘Dansa Dan Sing’ yang layak mara untuk bersaing di minggu keempat Ahad ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *