Trafik Data Mudah Alih Di Asia Tenggara Dan Oceania Dijangka Bertumbuh 7 Kali Ganda Menjelang 2024 – Ericsson

Ericsson Mobility Report

Jumlah Trafik Data Mudah Alih Di Asia Tenggara Dan Oceania Dijangka Bertumbuh 7 Kali Ganda Menjelang 2024 – Ericsson | Ericsson mengumumkan pelancaran Laporan Mudah Alih Ericsson Jun 2019. Laporan tersebut menyatakan bahawa trafik data bagi telefon pintar pada setiap bulan di Asia Tenggara dan Oceania akan bertumbuh dari 3.6GB kepada 17GB pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 29 peratus. Faktor-faktor penggunaan data yang tinggi ini merangkumi peningkatan jumlah langganan LTE serta perubahan dari segi tabiat menonton video dalam kalangan golongan muda. Laporan tersebut juga meramalkan bahawa jumlah trafik data mudah alih setiap bulan di rantau ini akan meningkat sebanyak 7 kali ganda, dari 2.3 EB pada tahun 2018 kepada 16 EB menjelang tahun 2024.

Trafik Data Mudah Alih - Global Mobile Data Traffic

Jumlah langganan telefon pintar di rantau ini akan melepasi 1 bilion pengguna menjelang tahun 2024 pada kadar CAGR 8 peratus, manakala jumlah langganan mudah alih dijangka akan bertumbuh pada kadar CAGR 7 peratus, dari 800 juta pada tahun 2018 kepada 1.2 bilion pada tahun 2024.

Trafik Data Mudah Alih - Subscription penetration Q1 2019

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton berkata, “LTE bakal menjadi teknologi akses yang paling berpengaruh di rantau ini menjelang tahun 2024, manakala langganan 5G juga akan mula meraih momentum. Trafik video mudah alih merupakan pemacu jumlah trafik data kerana pengguna menghabiskan lebih masa untuk penstreman dan perkongsian video. Trend ini dijangka akan berterusan kerana video telah menjadi sebahagian daripada semua jenis kandungan dalam talian. Di samping itu, kaji selidik pengguna telefon pintar di seluruh dunia menunjukkan bahawa mereka mengharapkan 5G untuk mencapai prestasi rangkaian diperlukan untuk format serta aplikasi media yang memberikan pengalaman realistik. Penstreman video 360 darjah dan Realiti Tertambah/Maya bakal menjadi faktor penting bagi pertumbuhan trafik mudah alih, berserta pelancaran 5G dan peranti yang serasi secara berterusan.”

Trafik Data Mudah Alih - Total and new mobile subscription Q1 2019

Menurut Laporan Mudah Alih Ericsson, langganan LTE telah bertumbuh kira-kira 40 peratus pada tahun 2018 di Asia Tenggara serta Oceania, dan dijangka akan menyumbang kepada 63 peratus jumlah langganan mudah alih menjelang akhir tahun 2024. Peranti komersial 5G peringkat awal dijangka boleh didapati di rantau ini dalam separuh pertama tahun 2019. Malah, menjelang akhir tahun 2024, dijangkakan bahawa hampir 12 peratus daripada langganan di rantau ini adalah untuk 5G.

Penerapan 5G di peringkat global akan lebih pantas daripada jangkaan

Edisi Laporan Mudah Alih Ericsson Jun 2019 meramalkan sebanyak 1.9 bilion langganan 5G – lebih tinggi daripada 1.5 bilion yang diramalkan dalam edisi November 2018 – bersamaan kadar peningkatan kira-kira 27 peratus.

Ramalan-ramalan lain turut meningkat, disebabkan khasnya oleh penerapan 5G yang pantas. Liputan 5G dijangka akan mencecah 45 peratus daripada populasi dunia menjelang akhir tahun 2024. Ramalan ini mungkin akan melonjak sehingga 65 peratus, kerana teknologi perkongsian spektrum membolehkan penyebaran 5G pada jalur frekuensi LTE.

Pembekal perkhidmatan komunikasi dalam beberapa pasaran telah menerapkan 5G susulan pelancaran telefon-telefon pintar serasi 5G. Pembekal perkhidmatan di sesetengah pasaran juga menetapkan sasaran lebih tinggi untuk mencapai liputan populasi sehingga 90 peratus pada tahun pertama.

Komitmen tinggi dalam kalangan penjual cipset dan peranti juga merupakan faktor penting yang memacu penerapan 5G. Telefon-telefon pintar untuk semua jalur spektrum utama dijangka akan memasuki pasaran sepanjang tahun ini. Oleh sebab akses kepada peranti 5G semakin meningkat, serta pelancaran lebih rangkaian 5G, langganan 5G diunjurkan mencecah lebih 10 juta di seluruh dunia menjelang akhir tahun 2019.

Trafik Data Mudah Alih - Mobile Subscriptions by technology

Penerapan 5G dijangka terpantas di Amerika Utara, malah menjelang tahun 2024, dijangkakan 63 peratus daripada langganan mudah alih di rantau tersebut adalah untuk 5G, diikuti Asia Timur Laut di tempat kedua (47 peratus), dan Eropah di tempat ketiga (40 peratus).

Naib Presiden dan Ketua Rangkaian Eksekutif Ericsson, Fredrik Jejdling berkata, “5G sememangnya berkembang begitu pesat, sekaligus mencerminkan sambutan tinggi penyedia perkhidmatan serta pengguna terhadap teknologi ini. 5G akan mewujudkan impak positif dalam kehidupan pengguna mahupun perniagaan, serta membawa manfaat yang melangkaui ruang lingkup IoT dan Revolusi Perindustrian Keempat. Walau bagaimanapun, manfaat penuh 5G hanya boleh dinikmati dengan penubuhan satu ekosistem kukuh yang dapat mewujudkan peranan bagi teknologi, kawal selia, keselamatan, dan penggiat-penggiat industri.”

Jumlah trafik data mudah alih terus meningkat di seluruh dunia pada suku pertama tahun 2019, bersamaan peningkatan 82 peratus dari tahun lalu. Ia diramalkan akan mencapai 131EB setiap bulan menjelang akhir tahun 2024, dan pada masa itu, rangkaian 5G dianjurkan menyumbang kepada 35 peratus daripada angka tersebut. Kini, terdapat sebanyak 1 bilion sambungan IoT selular di seluruh dunia, dan angka tersebut dijangka akan meningkat kepada 4.1 bilion menjelang akhir tahun 2024, yang mana 45 peratus daripadanya diwakili Massive IoT. Industri yang menggunakan Massive IoT termasuk kemudahan-kemudahan dengan pemeteran pintar, penjagaan kesihatan dalam bentuk peralatan perubatan yang boleh dipakai, serta pengangkutan dengan sensor pengesan.

Baca laporan mudah alih Ericsson Jun 2019 (penuh) disini

Baca kajian potensi pengguna Ericsson Jun 2019 (penuh) disini


Tentang Ericsson

Ericsson membolehkan penyedia perkhidmatan komunikasi mencapai nilai ketersambungan yang sepenuhnya. Portfolio syarikat merangkumi Rangkaian, Perkhidmatan Digital, Perkhidmatan Terurus, dan Perniagaan Pasaran Baru Muncul dan direka untuk membantu para pelanggan memulakan digital, meningkatkan kecekapan dan mencari aliran pendapatan baharu. Pelaburan Ericsson dalam inovasi telah memberikan manfaat telefoni dan jalur lebar mudah alih kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia. Saham Ericsson disenaraikan di pasaran Nasdaq Stockholm dan Nasdaq New York. www.ericsson.com

Leave a Reply