Pecah Panggung: Ejen Ali Dengan Kutipan RM1.86 Juta, Di Tiga Buah Negara Dalam 1 Hari!

Ejen Ali the movice logo

Pecah Panggung: Ejen Ali Dengan Kutipan RM1.86 Juta, Di Tiga Buah Negara Dalam 1 Hari! | Primeworks Studios and WAU Animation dengan bangganya mengumumkan, EJEN ALI THE MOVIE mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta dalam masa satu hari selepas tayangannya di 160 pawagam di serata Malaysia, Singapura dan Brunei.

Pecah Panggung : Ejen Ali The Movie

EJEN ALI THE MOVIE yang dikuasai oleh Tenaga Nasional Berhad, dengan kerjasama Mydin dan Pedisure kini mencatat rekod baru bagi kutipan hari pertama untuk filem animasi tempatan sejak tayangan pertama yang bermula semalam, 28 November 2019. 

Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata, “Inilah  masanya untuk kita sama-sama bangga dengan produk filem Malaysia. Kami sangat terkejut dengan sambutan luar biasa ini dan menerima mesej dari penonton di luar sana yang juga meluahkan rasa keterujaan dan bangga terhadap produk Malaysia yang mampu mengalahkan filem antarabangsa.  Ini bukan sekadar kejayaan kami.  Inilah kejayaan Malaysia! Terima kasih Malaysia!”

Ejen Ali melakar sejarah dalam industri animasi tempatan dengan mencipta sebuah filem bertaraf internasional yang mana EJEN ALI THE MOVIE merupakan filem pertama animasi yang  terlaris pada hari pertama tayangannya di Malaysia.

Datuk Ahmad Izham Omar menambah, “Malah, ia adalah amat membanggakan bagi rakyat Malaysia kerana tiga daripada filem top lima carta filem Malaysia semuanya dihasilkan oleh anak tempatan, filem Wira di tempat ketiga dan Pusaka di tempat kelima. Ini membuktikan produksi dan filem kita telah mencapai tahap di mana ia bukan sahaja dapat bersaing tetapi melangkaui prestasi filem antarabangsa.”

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana andalah EJEN ALI THE MOVIE nombor satu! Banyak filem-filem hebat yang ditayangkan pada masa yang sama dengan filem kami, terutamanya filem dari luar. Sokongan anda semua amat luar biasa  dan anda telah membuktikan sememangnya #kitajagakita. Filem ini adalah platform pertama dan terbaik kami untuk terus mencipta yang lebih baik di masa hadapan,” tambah Usamah Zaid Yassin, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation yang juga merupakan pengarah filem EJEN ALI THE MOVIE.  

Sehingga kini, Primeworks Studios mempunyai dua buah filem pecah panggung di Malaysia termasuklah filem WIRA yang berada di tempat ketiga dalam carta.

EJEN ALI THE MOVIE filem animasi #1 di Malaysia, mengungguli carta kutipan harian, mengisahkan tentang Ali, budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet  istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baru ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

Sokonglah  filem animasi tempatan. Filem Kita, Wajah Kita!

Untuk info lanjut mengenai  EJEN ALI THE MOVIE, sila layari: 

#EjenAliTheMovie  #EjenAli #AniMY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *