SUATUKALA – 3 Cerita Dongeng Dalam 1 Nafas Baru | Kalau kita tanya generasi anak-anak kita tentang cerita rakyat “Hikayat Malin Kundang“, “Bawang Merah Bawang Puteh” atau “Badang” mungkin ada yang langsung tak tahu pun kisah-kisah ini. Tetapi jika ditanyakan kepada ibubapa yang lahir sebelum tahun 80an, mesti ada yang tersenyum mengingatkan kisah ini. Bagi menggamit kenangan lalu dan mengingatkan kembali kisah ini untuk anak-anak generasi sekarang, Astro bakal menceriakan musim cuti persekolahan yang akan datang ini dengan membawakan cerita-cerita rakyat popular dari negara Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei menerusi sebuah filem televisyen (FTV) bertajuk ‘Suatukala’ yang akan menemui penonton mulai 15 Mac ini di AStro First Eksklusif saluran 480 dan menerusi platform digital, ‘on demand’..

Tiga hikayat dongeng lama, ‘Merah Puteh’, ‘Malin Kundang’ dan ‘Badang’ telah diberi nafas baru dan diceritakan semula dalam filem televisyen (FTV) ‘Suatukala’ untuk tontonan seisi keluarga. ‘Suatukala’ merupakan sebuah karya antologi yang dizahirkan oleh tiga pengemudi utama yang menduduki kerusi Pengarah. ‘Merah Puteh’ mendapat sentuhan pengarah hebat, Shamyl Othman. ‘Badang’ pula menampilkan Nik Amir Mustapha, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia seni tanah air. Manakala ‘Malin Kundang’ diarahkan oleh seorang pemain baru yang begitu berpotensi besar, saudara Edison Cheam.

FTV ini turut menampilkan nama-nama terkemuka yang terlibat secara langsung di hadapan dan di belakang tabir termasuklah Yusry Abdul Halim yang mengetuai bahagian efek khas serta gabungan pelakon berpengalaman dan bakat-bakat muda yang amat berbakat. Mereka termasuklah Kamal Adli, Dynas Mokhtar, Amir Raja Lawak, Sharifah Shahirah, Liza Othman, Rykarl Iskandar, Wafiy Ilhan, Sweet Qismina, Harith Haziq, Qistina Raisah, Arel Azimi, Syumaila, Zynakal, Arif Karim dan Firdaus Ghufran.

“Suatukala merupakan sebuah projek eksperimen yang mana kami gabungkan kisah-kisah dongeng terkenal Nusantara dan diceritakan semula dalam bentuk filem. Untuk menarik perhatian adik-adik di luar sana, kami terapkan banyak elemen moden, santai dan komedi agar ia dilihat lebih relevan dengan peredaran zaman. Kebanyakan anak-anak pada hari ini lebih terdedah kepada kisah-kisah dongeng dari luar negara. Menerusi ‘Suatukala’, kami angkat semula kisah-kisah dongeng tempatan yang cukup terkenal di kalangan masyarakat serumpun dan kami titipkan juga nilai-nilai murni agar anak-anak ini mendapat pengajaran daripadanya. Pada masa yang sama, saya yakin ‘Suatukala’ akan turut menggamit nostalgia ibu bapa di kala menontonnya bersama seisi keluarga.” menurut Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Gen Next ASTRO.

Sinopsis ‘Suatukala’
Pada suatukala, di sebuah negeri Inderaloka, dua bangsa berkongsi hidup di atas tanah yang sama, iaitu Indera dan Loka. Bangsa Indera boleh mengunakan kuasa sakti, sentiasa digeruni oleh orang Loka. Akibatnya Indera disisih, ditindas, dan digunakan hanya untuk kepentingan Loka sahaja. Kerana naluri seorang Indera itu memang bencikan pada kekerasan dan naif dalam membuat keputusan, bilangan mereka semakin lama, semakin berkurangan. Ada yang hilang, ada juga yang ditahan, Kini raja Inderaloka telahpun mengeluarkan titah, pengawal istana pun telah keluar keliling kota, raja mahukan saki-baki orang Indera dicari dan dikumpul dengan segera, tiada siapa tahu niat raja. Inilah cerita-cerita Suatukala.
Malin Kundang (Wafiy Ilhan) seorang anak yang baik yang tinggal bersama ibunya, Kesuma (Dynas Mokhtar) yang amat melindunginya. Malin Kundang teringin untuk menyertai geng popular Alam (Zynakal), Bak (Arif Karim) dan Ciko (Firdaus Ghufran) di kampung dan sanggup melakukan apa sahaja cabaran yang diberi. Ibunya melarang Malin daripada menyertai geng itu. Salah satu cabaran yang diberi adalah untuk Malin Kundang menunjukkan keberaniannya dengan menangkap orang Indera. Terpengaruh dengan andaian mereka, Malin Kundang menuduh ibunya sebagai orang Indera. Akibat tindakannya yang mengkhianati ibunya sendiri, Malin Kundang disumpah menjadi batu.
Merah (Sweet Qismina) tinggal bersama adik tirinya, Puteh (Syumaila) dan ibu tirinya, Mak Kuntum (Sharifah Shahirah). Mak Kuntum berasa seronok apabila bunga mawarnya tumbuh mekar dalam masa semalaman. Ini membuatkan jiran mereka, Mak Bidan, berasa musykil. Puteh mendapat tahu Merah memiliki kuasa sakti dan sering mengintip Merah berbual dengan seekor Ikan Kaloi (suara latar – Sherry Al Hadad) yang boleh bercakap. Atas nasihat Mak Bidan, ikan dari warisan Indera itu perlu dihapuskan. Dengan hati yang sedih, Merah menanam tulang Ikan Kaloi tetapi rahsianya tetap dibongkar kepada Pengawal Diraja, Pendek (Kamal Adli) dan Panjang (Amir Raja Lawak).
Badang (Harith Haziq) cemburu dengan basikal baru rakannya, Suman (Rykarl Iskandar), dan ingin menyertai pertandingan angkat berat demi mendapatkan duit untuk membeli basikal baru. Malangnya, Badang kalah dalam pusingan kelayakan. Seorang gadis Indera bernama Nami (Qistina Raisah), berjanji menunaikan permintaan Badang untuk menjadi kuat agar Badang dapat memenangi pertandingan itu. Dengan bantuannya, Badang mendapat kekuatan luar biasa dan menang pertandingan angkat berat itu.
Butiran Siaran
‘Suatukala’ bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 15 Mac 2018 (Khamis) ini. Dengan hanya RM 15.90 (termasuk 6% GST), penonton boleh menonton ‘Suatukala’ dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian.
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘Suatukala’ turut boleh didapati menerusi platform digital, ‘on demand’.
Jangan lupa untuk ikuti Suatukala di platform digital seperti berikut:

:))