Aina Abdul Lakar Sejarah, Ungguli The Masked Singer Malaysia

Logo The Masked Singer Malaysia

Aina Abdul Lakar Sejarah, Ungguli The Masked Singer Malaysia | Setelah lapan minggu bersiaran, pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri anjuran Astro Warna, The Masked Singer Malaysia melabuhkan tirainya pada Jumaat di pentas akhir. Sejarah dilakar apabila pihak juri menobatkan vokalis, Aina Abdul, sebagai juara musim pertama program itu. Menurut Aina, beliau tidak menjangkakan langsung kemenangannya.

Aina Abdul Juara The Masked Singer Malaysia

Katanya, “Pada mulanya saya sertai program ini, saya memang sudah berniat untuk sampai ke peringkat akhir. Saya berusaha bersungguh-sungguh setiap minggu supaya Bunga Raya kekal di dalam program. Tetapi, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menjadi juara. Saya tidak sangka akan menang kerana kesemua peserta yang lain juga hebat. Apa pun, saya bersyukur sangat kerana rezeki berpihak kepada saya.

Aina Abdul bersama juri-juri

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Prima dan InTrend, Norzeha Mohd Salleh berkata, “Menerusi adaptasi terbaharu Astro Warna ini, kami percaya, program The Masked Singer Malaysia telahpun membawa kelainan kepada arena gelanggang muzik tanah air. Saya kagum dengan kecekalan setiap peserta yang berentap demi gelaran juara tanpa mengenali identiti sesama mereka, menaruhkan hanya kuasa vokal dan kreativiti dalam persembahan. Juga membanggakan adalah kru produksi yang bertungkus-lumus menyajikan hanya yang terbaik untuk santapan audiens.

Tenyata, program ini juga berjaya mencetuskan fenomena dalam kalangan netizen yang tidak berputus asa meneka siapakah di sebalik topeng dari minggu ke minggu di media sosial, sehingga tanda pagar rasmi kami trending setiap Jumaat. Dengan dorongan ini, kami selaku peneraju utama kandungan hiburan tanah air akan setiasa berusaha dengan lebih jitu untuk menghasilkan banyak lagi program yang bertaraf global, dengan cita-cita menembusi industri hiburan di persada Nusantara dan antarabangsa.”

Pada pentas akhir The Masked Singer Malaysia, Aina telah menyampaikan lagu Listen nyanyian asal Beyonce dan Malam Ini Kita Punya (Bunkface). Beliau menerima markah sebanyak 96 peratus daripada pihak juri. Naib Juara dimenangi oleh vokalis baharu Vanessa Reynauld (kostum Rajah Brooke) dengan markah sebanyak 95 peratus, dan tempat ketiga oleh artis rap, Tuju K-Clique (kostum Orang Utan) dengan markah sebanyak 94 peratus. Manakala, tempat keempat dan kelima menjadi milik Datin Alyah (kostum Wau) dengan markah 88 peratus dan Vince Chong (kostum Enggang) dengan 87 peratus.

Program The Masked Singer Malaysia merupakan sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri, menampilkan para selebriti ‘rahsia’ yang hadir daripada pelbagai cabang industri seni tanah air. Kesemua 12 selebriti ini beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri.

Untuk musim pertama ini, seramai sembilan (9) orang figura yang hadir dari latar belakang berpengaruh dalam industri telah diberi penghormatan untuk menduduki kerusi Juri Tetap dan mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam, dan Angah Raja Lawak. Manakala, menggalas tugas hos adalah pengacara tersohor, versatil dan disegani ramai, Datuk AC Mizal.

Juri-Juri The Masked Singer Malaysia 0 Aina Abdul Juara

The Masked Singer Malaysia menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, ‘The King of Mask Singer’ yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat, di mana ia berjaya mencetuskan satu fenomena yang cukup gah dan diminati ramai.The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu telahpun bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) pada setiap Jumaat, jam 9 malam. Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *