Astro Lancar Program Cetus Fenomena ‘The Masked Singer Malaysia’

Logo The Masked Singer Malaysia

Astro Lancar Program Cetus Fenomena ‘The Masked Singer Malaysia’ | Program ‘The Masked Singer Malaysia’ ialah sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri yang menampilkan para peserta yang terdiri daripada nama-nama hebat yang hadir dari pelbagai cabang seni. Kesemua 12 peserta misteri ini akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri yang juga figura dihormati dalam industri.

‘The Masked Singer Malaysia’ menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, ‘The King of Mask Singer’ yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat, di mana ia berjaya mencetuskan satu fenomena yang cukup gah dan diminati ramai.

Untuk musim pertama ini, seramai sembilan (9) orang figura yang hadir dari latar belakang berpengaruh dalam industri telah diberi penghormatan untuk menduduki kerusi Juri Tetap dan mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam, dan Angah Raja Lawak. Manakala, menggalas tugas hos adalah pengacara tersohor, versatil dan disegani ramai, Datuk AC Mizal.

‘The Masked Singer Malaysia’

Masih mengekalkan format asal program realiti ‘The King of Mask Singer’, kesemua peserta The Masked Singer Malaysia akan memakai kostum dari kepala hingga ke kaki bagi menyembunyikan identiti masing-masing. Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan dipertaruhkan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu sehinggalah dinobatkan sebagai juara musim pertama.

Siapakah mereka di sebalik kostum ini? Mungkinkah mereka ini artis dan selebriti kegemaran anda? Saksikan program yang bakal mencetuskan fenomena ini di Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) mulai 18 September 2020, setiap Jumaat, jam 9 malam! Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Naib Presiden Saluran Perniagaan Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata, “Di Astro Warna, kami menyambut baik perkembangan landskap industri hiburan yang sedia menerima gabungan muzik dan komedi sebagai salah satu cabang seni yang bergerak secara beriringan; sekaligus mentakrifkan semula genre lawak. Tanggungjawab kami selaku peneraju kandungan utama di Malaysia mendorong kami untuk sentiasa menyajikan hanya yang terbaik untuk santapan audiens kami.

Keputusan untuk mengadaptasi program berformat pertandingan nyanyian misteri, ‘The Masked Singer Malaysia’ ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama terutamanya dari aspek kehendak penonton yang sentiasa menginginkan kandungan-kandungan segar, penuh variasi dan memiliki keunikannya yang tersendiri. Program ini yang diperkenalkan di Korea Selatan pada tahun 2015 ternyata berjaya mencetuskan satu gelombang hebat di peringkat global sehingga ia kemudiannya diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika. Kami akui, fenomena ‘gelombang Hallyu’ Korea Selatan cukup besar sehinggakan ia berjaya menembusi industri hiburan di persada antarabangsa. Walaupun hadir dengan perbezaan bahasa dan budaya, ia tidak membantutkan usaha kami membawa program ini ke Malaysia untuk disajikan kepada penonton Astro.

Menariknya lagi, kami turut menyuntik elemen lokal atau tempatan di pelbagai sudut dan ia boleh dilihat ketara apabila kostum-kostum yang dihasilkan dan diperagakan peserta adalah diinspirasikan dari budaya negara kita sendiri. Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan saudari Akma Suriati Awang yang sudi menyarungkan jersi pereka kostum bagi musim pertama The Masked Singer Malaysia ini. Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam industri fesyen, teater dan filem, dan kami amat teruja untuk melihat reaksi audiens terhadap ciptaan-ciptaan kreatif beliau.”

Format Pertandingan “The MASKED SINGER MALAYSIA”

  1. Untuk 8 minggu berturut-turut, 12 selebriti akan membuat persembahan di mana mereka akan menyanyi sambil mengenakan kostum yang akan merahsiakan identiti mereka, bukan sahaja susuk fizikal, malah suara bercakap juga akan diubah!  
  2. Tahukah anda, identiti sebenar barisan peserta dirahsiakan dan tidak diketahui oleh semua yang terlibat dalam program ini iaitu hos, barisan panel malah dari ratusan krew produksi dan staff, hanya 8 orang sahaja yang diberi amanah untuk menyimpan rahsia identiti sebenar para peserta.
  3. Sebelum setiap persembahan bermula, paparan video klu akan ditayangkan untuk memberi petunjuk bagi membantu barisan panel juri dan juga penonton untuk meneka dengan tepat.
  4. Ketika persembahan peserta berlangsung, barisan juri akan memberi tumpuan ke pentas dan meneliti setiap aspek seperti gaya suara, karakter di pentas, gaya bahasa badan dan setiap pergerakan peserta untuk meneka siapakah identiti selebriti disebalik topeng.
  5. Selesainya setiap persembahan, pihak juri akan cuba untuk meneka siapakah selebriti di sebalik topeng tersebut.
  6. Barisan panelis juga akan memberikan markah bagi setiap persembahan, dan peserta yang menerima markah terendah akan disingkirkan pada minggu tersebut.
  7. Selepas pengumuman penyingkiran dibuat di akhir rancangan, detik yang paling ditunggu-tunggu dan mendebarkan adalah saat peserta tersingkir menanggalkan topeng dan mendedahkan identiti misteri mereka buat pertama kali di hadapan hos, barisan juri, dan juga penonton.
  8. Peserta yang identitinya tidak didedahkan sehingga berakhirnya episod kelapan merupakan juara program realiti The Masked Singer Malaysia musim pertama!

Rakan Digital, VLOG dan Radio Rasmi

  • Gempak bertindak selaku rakan digital rasmi bagi program The Masked Singer Malaysia. Info program, profil kostum, dan perkembangan terkini program boleh didapati di www.gempak.com/maskedsinger.
  • Zon Lawak, melalui siri ‘Pintu Belakang’ di saluran YouTube rasminya, akan bertindak sebagai ‘pas’ eksklusif yang memaparkan momen-momen istimewa di sebalik tabir penghasilan dan rakaman program, dalam format vlog yang dihoskan oleh Farid dan Aizat.
  • SINAR pula hadir sebagai Radio Rasmi.

Barisan Penaja

SK magic

SK magic diasaskan pada tahun 1985 dan merupakan perniagaan yang pertama menghasilkan ketuhar gas di Korea. SK magic juga adalah pencetus trend dalam industri peralatan rumah di Korea. SK Group, adalah kumpulan syarikat yang terbesar di Korea Selatan dan sebagai syarikat induk SK magic, telah berkembang sebagai perniagaan utama di sektor peralatan dapur & rumah berasaskan teknologi canggih yang unik dan pengurusan kualiti yang optimum. Pada Disember 2018, SK magic Malaysia telah ditubuhkan dan ia merupakan cabang terulung di Asia Tenggara. SK magic telah dianugerahkan Innovasi CES 2020 untuk ‘All-in-one JIKSOO RICH Ice Water Purifier’ dan ‘Motion Air Purifier’ yang diiktiraf sebagai peralatan yang mempunyai teknologi rumah pintar yang canggih. Sebagai perniagaan sewaan yang terkemuka, SK magic amat komited untuk memberi pengalaman terbaik untuk kediaman di Malaysia. 

OPPO

OPPO adalah jenama peneraju peranti pintar global terkemuka. Sejak melancarkan telefon pintar pertamanya – “Smiley Face” pada tahun 2008, OPPO sentiasa mengejar untuk memberikan kepuasan estetika dan teknologi inovatif tanpa henti. Hari ini, OPPO memberikan pengguna pelbagai pilihan telefon pintar yang diterajui oleh siri Find dan siri Reno, system operasi ColorOS, serta perkhidmatan internet seperti OPPO Cloud dan OPPO+. OPPO beroperasi di lebih 40 buah negara dan rantau dengan 6 institusi penyelidikan dan 4 pusat R&D seluruh dunia serta pusat rekabentuk antarabangsa yang terletak di London. OPPO mempunyai lebih dari 40,000 orang pekerja yang berdedikasi dalam mewujudkan kehidupan yang lebih baik kepada para pengguna di seluruh dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *