Cinderella 2013 Filem ‘Syok Sendiri’ Ahmad Idham

Cinderella 2013-1

Ingatkah lagi pada drama popular Cinderella sekitar tahun 90-an lakonan Ahmad Idham bersama Haliza Misbun? Bagi mengembalikan nostalgia drama bersiri popular tahun 90-an itu, Ahmad Idham telah menyiapkan filem Cinderella yang akan ditayangkan pada 19 Disember 2013. Dibintangi oleh Fizo Omar (Salman), Nelydia Senrose (Nurul), Dato’ Jalaludin Hassan (Datok Mokhtar), Fauziah Nawi (Mak Jah), Kamal Adli (Ray), Azizah Mahzan (Ainon), Erin Malek (Farah) dan Azlan Komeng (Zamil).

Cinderella 2013 Senyum

Majlis tayangan media filem Cinderella telah diadakan pada 30 November 2013 bertempat di Cineleisure Damansara, eCurve Mutiara Damansara. Pihak Excellent Pictures Sdn. Bhd. telah menjemput para wartawan media cetak dan elektronik serta rakan-rakan blogger untuk menonton filem tersebut. Ini adalah filem syok sendiri saya, ujar Ahmad Idham ketika menyampaikan ucapannya sebelum majlis pratonton itu. Filem ini mengembalikan nostalgianya 15 tahun yang lalu. Ucapan terima kasihnya juga ditujukan kepada Mohd Noor Kadir yang menjadikannya Salman 15 tahun dulu serta selaku penerbit filem ini. Tak lupa juga ucapan terima kasih kepada LY Baiduri yang mencipta lagu Sehati Sejiwa ini dan membenarkan ia dijadikan soundtrack filem ini dengan nafas baru melalui penyanyi Farah Diana Anwar.

Ahmad Idham

Filem ini adalah terbitan ke-11 oleh Excellent Pictures, mengekalkan konsep kisah Cinderella; menceritakan Nurul seorang anak gadis kampung yang tinggal bersama ibu tirinya, Ainon serta adik tirinya, Farah dan abang tirinya, Zamil. Pada satu malam Zamil cuba memperkosa Nurul semasa ketiadaan ibu dan adiknya di rumah. Nurul berjaya melarikan diri dan bersembunyi di khemah Salman. Kemudian mereka ditangkap berkhawlat oleh ketua kampung, tok imam dan penduduk kampung kerana berdua-duaan di situ. Mereka dinikahkan dan pulang ke Kuala Lumpur. Apa yang berlaku seterusnya kepada Nurul dan Salman? Mari ramai-ramai ke pawagam pada 19 Disember 2013 untuk menonton kisah selanjutnya.

CDR_Poster

Kalau ikutkan kisah dongeng Cinderella,

saya kena pusing satu KL untuk cari siapa pemilik kasut ini

Fauziah Nawi & Kamal Adli

Jalan cerita sememangnya berlainan dari drama yang lalu, tetapi dari segi penjiwaan, kesedihan dan romantiknya memang sama. Disulami dengan adengan serta watak lucu Mak Jah dan Ray membuatkan panggung menjadi gamat dengan gelak ketawa. Nelydia berjaya membawa watak Nurul dengan baik dan menitiskan air matanya hampir 60% dari cerita tersebut. Fizo pula memang bersahaja memegang watak anak orang kaya yang suka berfoya-foya. Rata-rata sangat menghiburkan dan aku bagi 3.5 Bintang / 5 Bintang. Serbu panggung ramai-ramai 19 Disember 2013 nanti!

Nelydia Senrose1

Kredit: Excellent Pictures, Galaksi Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *