Finas Kecewa Platform e-Dagang Jual Filem Cetak Rompak

Cetak Rompak

Finas Kecewa Platform e-Dagang Jual Filem Cetak Rompak | Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sedang membuat siasatan berhubung kegiatan penjualan filem-filem tempatan yang dicetak rompak di platform e-dagang.

Filem cetak rompak dijual di platform e-dagang - Keluarga Iskandar

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Nadzri menjelaskan pihaknya akan memberi tumpuan kepada pihak e-dagang dan juga mereka yang menjual filem-filem cetak rompak di platform terbabit. Beliau menjelaskan pihaknya kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang menjual filem-filem tanpa kebenaran secara digital.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Nadzri sedih dengan isu filem cetak rompak

“Kami akan menyiasat dua pihak iaitu pihak e-dagang dan mereka yang menjual filem-filem tersebut. Siasatan kami untuk memastikan sama ada mereka ini mempunyai lesen pengedaran dan adakah sudah mendapat kebenaran pihak penerbit untuk menjual filem-filem tersebut.

“Berdasarkan laporan yang kami terima, mereka tidak mendapat kebenaran dari penerbit untuk menjual filem-filem tersebut,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham menjelaskan pihaknya akan mendapatkan maklumat dari pihak-pihak e-dagang berkenaan sama ada mereka mengetahui bahawa produk yang dijual itu asli atau tidak.

Selain itu, beliau juga menegaskan Finas rasa tercabar apabila ada pihak yang berani menjual filem-filem cetak rompak secara terbuka.

“Kita nak tahu sama ada pihak-pihak platform e-dagang ini, sama ada mereka tahu atau tidak bahawa produk-produk yang dijual itu setengahnya adalah produk cetak rompak.

“Jadi kita (Finas) rasa tercabar apabila mereka secara terbuka menjual filem cetak rompak itu,” katanya lagi.

Beberapa filem tempatan antaranya Keluarga Iskandar The Movie dan Ada Apa Dengan Dosa dikesan telah dijual tanpa kebenaran penerbit di platform Shopee.

Sumber: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *