GV7 Dominasi Penyanyi Tempatan Di Pentas

GV7 logo

GV7 Dominasi Penyanyi Tempatan Di Pentas | Tanpa perlu pengenalan panjang lebar, program realiti popular ‘Gegar Vaganza’ atau ‘GV’ ialah sebuah pertandingan nyanyian terbitan Astro Ria menampilkan barisan penghibur berpengalaman yang pernah masyhur dan diberi kesempatan untuk kembali menjenamakan semula nama mereka di persada seni tanah air.

Gegar Vaganza 7 - GV7

Mengangkat tagline ‘Mara Suara Membara’ untuk edisi terkini, ‘GV7’ yang bakal dilaksanakan mengikut SOP dan rutin kelaziman baharu ini juga turut mencatatkan rekod bilangan penyertaan terbanyak sepanjang sejarah penganjuran edisi sebelum ini. Seramai 14 peserta yang pernah mewarnai gelanggang industri muzik suatu masa dahulu bakal menjadi pertaruhan besar pada musim kali ini yang terdiri daripada 6 penyanyi solo lelaki, 6 penyanyi solo wanita dan dua buah kumpulan.

Enam peserta solo lelaki tersebut ialah vokalis kumpulan May iaitu MUS akan menyahut cabaran bersama-sama dengan bekas vokalis May dan Rusty Blade, YANTZEN. Turut menyertai senarai penyanyi solo lelaki ialah CLIFF UMAR (Projek Pistol), AJU (Success), OJA dan NOMAD.

Sementara senarai penyanyi solo wanita yang bakal mewarnai ‘GV7’ ialah penghibur yang sinonim dengan gelaran Ratu Etnik iaitu NORANIZA IDRIS, ROZITA IZLYN, AYU DAMIT, LINDA NANUWIL, ASHIRA dan HASLINDA.

Manakala dua buah kumpulan yang juga akan menyahut cabaran ialah INDIGO dan EVA.

‘GV7’ juga masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Gegar Vaganza 7 - GV7 - Juri

Terdahulu, penyanyi Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4),  Noryn Aziz (GV5) serta Naqiu dan Hady Mirza (GV6) juga pernah dinobatkan sebagai juara ‘GV’ untuk penganjuran terdahulu.

Emarina Mohd Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria, “Memasuki edisi penganjuran ketujuh, pengaruh jenama ‘GV’ sebagai sebuah program hiburan ‘feel good’ yang berpengaruh kini semakin kukuh dan cemerlang.

Emarina Mohd Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria

Peranan besar ‘GV’ selaku kayu penghubung yang ‘menyatukan’ peminat dunia seni hiburan tanah air juga jelas terbukti ekoran setiap kali musim baharu diterbitkan, program ini sentiasa menjadi sebutan penonton, bahan perdebatan netizen selain mengundang pelbagai ulasan daripada pengamal media, blogger serta pencinta seni tanah air. Ini sekaligus meletakkan ‘GV’ di antara program hiburan terbitan Astro yang paling ditunggu-tunggu saban tahun.

Untuk musim yang terbaharu, senarai 14 penyanyi yang akan beraksi di pentas ‘GV’ pada kali ini merupakan gabungan bintang-bintang daripada pelbagai latar belakang. Pemilihan tidak bersandarkan kepada lagu-lagu popular mereka semata-mata, bahkan pengalaman dan reputasi juga turut menjadi antara kriteria utama yang ditimbang tara. Bukan itu sahaja, senarai tersebut juga harus memenuhi tuntutan penonton kerana tanpa sokongan mereka, fenomena ‘GV’ tidak mungkin berkembang sehebat sekarang.

Mungkin ada juga peminat di luar sana yang tertanya-tanya mengenai penyertaan dari negara jiran seperti musim-musim sudah kerana edisi kali ini cuma menampilkan seorang sahaja wakil luar iaitu Yantzen, penyanyi kelahiran Singapura yang kini menetap di Malaysia. Seperti yang semua sedia maklum, 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar buat seluruh dunia ekoran penularan pandemik COVID-19. Krisis berkenaan telah membataskan banyak perancangan Astro termasuk produksi ‘GV’ sendiri yang sebetulnya sudah mempunyai senarai artis dari negara jiran yang ingin kami pelawa untuk bersama-sama memeriahkan musim ini. Namun begitu, segala perancangan yang diatur terpaksa ‘disimpan’ untuk dibawa ke musim hadapan atas faktor keselamatan selain terikat dengan syarat SOP yang ketat.

Dalam masa sama, kami turut berpendapat bahawa ada hikmah di sebalik ujian yang melanda kerana penganjuran ‘GV’ kali ini menampilkan dominasi penyertaan artis tempatan. Bertepatan pula dengan semangat solidariti seluruh rakyat Malaysia dalam memerangi pandemik, maka ada manisnya apabila penganjuran kali ini membuka peluang kepada penghibur tempatan. Justeru, pentas ‘GV7’ ini secara rasminya dibuka untuk meraikan mereka dan semoga setiap peserta akan merebut peluang yang diberikan ini.”

Gegar Vaganza 7 - GV7 - Pengacara

Rangkaian program ‘GV7’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) sertaturut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’. Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober 2020. Manakala siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam.

Konsert mingguan ‘GV7’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2020.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020.

Istimewa untuk pelanggan NJOI, konsert minggu pertama ‘GV7’ juga bakal disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105). Selain itu, siaran penuh konsert minggu pertama juga boleh distrim menerusi program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ di platform Gempak pada hari tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *