Kolaborasi Epik Hun & Noki Dalam “Untuk Semua Jiwa” | Sony Music Malaysia dengan bangganya mempersembahkan single terbaharu berjudul “Untuk Semua Jiwa“, sebuah kolaborasi epik diantara pelakon tampan berbakat, Hun Haqeem dan bintang hip hop kacak, Noki K-Clique, ciptaan komposer muda, Raiden Koh.
Lagu ini menjadi runut bunyi rasmi (OST) untuk filem yang dinanti-nantikan, “Soloz Game of Life”. Sebuah filem yang mengisahkan tentang pemain e-sports Mobile Legends yang bakal ditayangkan mulai 23 Januari 2025 nanti.
Dua Artis Berbakat Tanah Air Bergabung Suara Dalam Single Terbaharu OST Filem “Soloz Game Of Life”
Filem “Soloz Game of Life”, sebuah karya yang penuh emosi, mengangkat tema perjuangan, persahabatan dan juga keazaman. Lagu “Untuk Semua Jiwa” yang diinspirasikan daripada naratif filem ini menggambarkan perjalanan hidup yang penuh cabaran serta perjuangan untuk menjadi juara dalam kehidupan kita – bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk semua.
Karya Untuk Semua: Inspirasi & Makna Disebalik “Untuk Semua Jiwa”
Menurut Hun Haqeem, “Untuk Semua Jiwa” menjadi medium untuk menyampaikan emosi dan ceritanya kepada para peminat. “Lagu ini menggambarkan cerita ‘Soloz Game of Life’ dengan sangat baik. Ia bukan sekadar tentang menjadi juara berseorangan, tetapi juara untuk semua – satu mesej penting dalam kehidupan,” kata Hun.

Menurut Noki, inspirasi untuk lagu ini datang daripada pengalaman hidupnya sendiri serta wataknya dalam “Soloz Game of Life”. “Lagu ini lebih kepada memberi semangat pada anak anak muda kita sekarang,” jelas Noki. Lirik lagu ini sarat dengan mesej positif dan motivasi, mencerminkan tema penting dalam filem tersebut.
Proses Kreatif & Kolaborasi
Penghasilan “Untuk Semua Jiwa” melibatkan komposer dan penulis lirik yang berpengalaman, menghasilkan sebuah karya yang menggabungkan elemen electro-rock dan ‘beat’ agar kedengaran moden dan penuh dinamik. Melodi yang bertenaga digabungkan dengan vokal Hun yang unik dan gaya rap Noki yang padu, menjadikan lagu ini sebuah karya yang tersendiri dan berkuasa.

Kolaborasi diantara Hun dan Noki tercetus secara semula jadi. Kedua-duanya bukan sahaja terlibat sebagai pelakon dalam filem “Soloz Game of Life”, tetapi juga berkongsi visi yang sama untuk lagu ini. “Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan Noki. Dia seorang yang ikhlas dengan setiap perkara yang dilakukannya. Sebagai pendatang baru bidang nyanyian, saya sangat bersyukur dapat belajar daripada seseorang yang berbakat besar seperti Noki,” kata Hun.
Noki pula memuji bakat Hun sebagai seorang artis yang serba boleh. “Saya sangat ‘happy’ untuk Hun kerana dia mempunyai bakat semulajadi dengan vokal yang ‘serak-serak basah’. Saya sangat bersetuju kalau Hun mengembangkan cabang seninya dalam bidang muzik pula,” ujar Noki.
Lagu Bermatlamat: Harapan & Penerimaan
Sebagai debut nyanyian buat Hun, “Untuk Semua Jiwa” adalah satu langkah besar dalam kariernya. Hun memilih untuk melibatkan diri dalam lagu ini kerana genre dan mesejnya yang dekat dengan hatinya. “Saya rasa lagu ini adalah peluang terbaik untuk saya meneroka bidang nyanyian, terutama sekali kerana ia adalah OST kepada filem yang saya lakonkan. Saya harap lagu ini dapat memberi inspirasi kepada mereka yang mendengarnya,” kata Hun.

Noki turut menyuarakan harapan agar lagu ini dapat memberi impak kepada pendengar. “Harapan saya agar lagu ini dapat memberi semangat dan inspirasi kepada semua orang, tidak kira apa jua cabaran yang mereka hadapi,” kata Noki.
Persembahan Sulung Di M6 World Championship
Pada tarikh 14 Disember 2024, buat pertama kalinya Hun dan Noki akan menyanyikan lagu “Untuk Semua Jiwa” secara langsung di kejohanan M6 World Championship yang berlangsung di Axiata Arena buat tatapan peminat semua.
Pelancaran & Penstriman
Lagu “Untuk Semua Jiwa” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify dan YouTube Music. Manakala video muzik (MV) rasmi untuk lagu ini yang menampilkan visual yang mendalam dan sejajar dengan tema filem “Soloz Game of Life” boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube sonymusicMYVEVO dalam waktu terdekat.
TENTANG SONY MUSIC ENTERTAINMENT
Di Sony Music Entertainment, kami menghormati perjalanan seni. Para pencipta kami membentuk perubahan, budaya, komuniti dan sejarah. Kami telah memainkan peranan penting dalam sejarah muzik. Perjalanan kami bermula dari menubuhkan syarikat rakaman muzik pertama sehingga mencipta rakaman cakera padat. Kami telah membimbing ramai artis ikonik dalam dunia seni muzik dan menerbit beberapa buah rakaman yang berpengaruh sepanjang zaman. Sony Music Entertainment kini mempunyai lebih dari 100 cawangan syarikat di seluruh dunia untuk menyokong pelbagai pencipta yang berbakat pada setiap peringkat serta di setiap pentas persembahan. Di samping muzik, hiburan dan teknologi, kami juga membawa imaginasi, kepakaran kepada platform dan model perniagaan yang baharu serta peluang untuk menembusi pasaran luar. Semua usaha ini adalah untuk menyokong eksperimen, pengambilan risiko dan kemajuan komuniti kreatif. Sony Music Entertainment telah menerapkan prinsip perkongsian yang mendalam, kepercayaan, punca yang berasas bagi meningkatkan dan memperkuatkan masyarakat di seluruh dunia. Sony Music Entertainment adalah sebahagian daripada keluarga global Sony. Pelajari lebih lanjut mengenai pencipta dan label rekod kami sini.