‘Korban’ Hadiah Istimewa Ernie Zakri Buat Syamel

Korbancoverart7

‘Korban’ Hadiah Istimewa Ernie Zakri Buat Syamel | Dwi debaran yang dirasakan oleh penyanyi bersuara emas,  Ernie Zakri, yang kini sedang sarat mengandung 8 bulan dalam menantikan kelahiran anak pertamanya bersama suami, penyanyi Syamel, dan juga lagu ‘Boneka’ yang berjaya mara ke pertandingan muzik tahunan berprestij tanah air, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36.

“Syukur Alhamdulillah, rezeki anak dalam kandungan rasanya apabila Boneka layak ke AJL36,” katanya.

Pada masa yang sama, pemenang trofi Vokal Terbaik AJL sebanyak dua kali iaitu pada edisi ke-32 ketika mendendangkan lagu duet, Aku Cinta bersama Syamel dan edisi ke-35 untuk lagu solo, Gundah, sempat menghasilkan sebuah single terbaharu berjudul ‘Korban’ yang dicipta sepenuhnya oleh beliau dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment sebelum bergelar ibu, jelas Ernie, “Ini merupakan projek terakhir saya sebelum melahirkan anak sulung dan cuti bersalin selama 60 hari selain melalui proses berpantang, dan kesemuanya bergantung pada keadaan.

“Dalam pada itu diusia kandungan menjangkau 7 bulan, saya masih lagi berkesempatan merekodkan sebuah lagu khas buat orang-orang tersayang dalam hidup saya, terutamanya buat suami tercinta.

“Konsep lagu Korban memang kena sebenarnya dengan keadaan saya yang sedang hamil, pelbagai pengorbanan telah Syamel lakukan sebagai suami serta bakal bapa, dan baru-baru ini saya dihadiahkan pula dengan kejutan berupa sebuah majlis baby shower dan doa selamat oleh Syamel sendiri yang turut dihadiri ahli keluarga terdekat dan teman-teman rapat, terharu saya dibuatnya!

Sepanjang bergelar anak seni, Ernie banyak menyimpan kisah suka serta duka yang diterjemahkannya ke dalam lagu, menurut beliau lagu Korban mempunyai maksud yang sangat istimewa dalam hidupnya.

“Saya ciptakan lagu ini bagi menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh Syamel, banyak yang telah ditempuhinya sepanjang saya mengandung. Bayangkanlah perasaan beliau ketika itu, dengan keadaan arwah umi yang sedang tenat di hospital manakala saya pula sedang hamil, tak dapat saya ungkapkan.

“Maksud lagu Korban ini besar maknanya, pengorbanan sesebuah pasangan dalam menjaga perhubungan ketika sewaktu susah atau senang bersama walaupun dalam keadaan yang rapuh sekalipun, tetap dihargai walaupun tidak terungkap dengan kata-kata,” katanya.

Masih mengetengahkan genre balada pop yang sering dialunkan Ernie sebelum ini, ada unsur dramatik yang diselitkan sesuai dengan ‘jiwa’ lagu tersebut.

“Kalau pendengar hayati melodinya, agak melankolik sama seperti lagu Gundah yang pernah saya nyanyikan sebelum ini, namun ia bukanlah sedih tetapi lebih kepada perasaan terharu terhadap pengorbanan yang diberikan.

“Saya hanya mengambil masa selama 1 jam lebih untuk merakamkan lagu ini kerana lebih mudah apabila lirik, melodi dan komposisinya hasil ciptaan saya sendiri.

“Namun pengalaman yang paling menarik sudah tentunya merakamkan single ketika hamil di Studio Kharisma di Petaling Jaya, dan syukur saya berjaya sudahi tugas tersebut,” jelasnya.

Encik Feros Sayna, selaku Ketua Rocketfuel Entertainment berkata, “Ernie Zakri adalah di antara penyanyi wanita Malaysia yang tak dapat disangkal lagi kehebatan vokalnya, walaupun sedang hamil 7 bulan, beliau masih lagi berkarya dan mampu menghasilkan muzik yang berkualiti.

“Sebuah lagi ‘masterpiece’ berjaya dicipta oleh Ernie, semoga Korban bakal menjadi hit yang seterusnya dan terus melangkah jauh. Bagi pihak Rocketfuel, saya ucapkan yang terbaik buat Ernie dan Syamel dalam menimang cahaya mata pertama.

Kini, Ernie dan Syamel hanya sedang menghitung hari kelahiran permata hati pertama mereka yang dijangka bakal tiba pada penghujung Februari nanti.

“Teruja sebenarnya nak tunggu kelahiran anak selain rasa berdebar-debar kerana ini merupakan pertama kalinya, manakala segala kelengkapan bayi telah kami sediakan sebaik mungkin.

“Saya pohon doa daripada semua agar semuanya selamat dan baik-baik saja.

“Dan semoga single terbaru saya Korban diterima dan disukai ramai kerana mesej yang dibawakan kerana saya pasti ramai yang pernah merasainya.

Lagu ‘Korban’ boleh dimuat turun di iTunes Store mulai 18 Februari 2022 dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Rocketfuel Network pada tarikh yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published.