Lancarkan Sistem Tanpa Sentuh dan Tanpa Tunai untuk McDelivery

1

Lancarkan Sistem Tanpa Sentuh dan Tanpa Tunai untuk McDelivery | Sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), McDonald’s Malaysia telah meningkatkan langkah-langkah keselamatan dan kebersihan makanan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan Pelanggan dan Warga Kerjanya. Hari ini, rangkaian restoran khidmat segera itu mengumumkan pelancaran sistem Tanpa Sentuh dan Tanpa Tunai untuk perkhidmatan McDelivery.

Sistem Tanpa Sentuh dan Tanpa Tunai untuk McDelivery

Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Sejak bermulanya PKP, McDonald’s Malaysia telah mengambil langkah-langkah tambahan untuk perkhidmatan penghantaran makanannya, bagi memastikan keselamatan pelanggan dan penghantar makanan. Ini termasuk:

  • Penghantar makanan dikehendaki memakai topeng muka dan sarung tangan sebelum memasuki premis McDonald’s
  • Mereka dikehendaki melakukan sanitasi tangan
  • Penghantar makanan mesti menjalani pemeriksaan suhu badan di luar restoran setiap hari
  • Seorang kru akan ditugaskan melakukan proses sanitasi dan membersihkan beg penghantaran bagi setiap seorang penghantar makanan sebelum memasukkan makanan ke dalam beg masing-masing
  • Pengasingan tempat pengambilan makanan (pick-up points) bagi penghantar makanan perkhidmatan McDelivery (MDS) dan penghantar makanan Grab Food dan Foodpanda di restoran-restoran McDonald’s

Dengan pelancaran perkhidmatan penghantaran makanan tanpa sentuh hari ini, langkah-langkah keselamatan tambahan dan amalan jarak sosial yang ditambah baik telah dilaksanakan, seperti:

  • Beg bawa pulang (take-away) ditutup rapi, dengan bacaan suhu badan penghantar makanan dan kru ditampal pada beg
  • Penghantar makanan akan menghubungi pelanggan sebaik sahaja mereka tiba di lokasi penghantaran
  • Penghantar makanan akan meletakkan makanan di tempat selamat yang telah dipersetujui
  • Penghantar makanan akan berdiri sekurang-kurangnya satu meter dari pelanggan untuk meminimumkan sentuhan dengan pelanggan

Hanya bayaran tanpa tunai diterima untuk pesanan melalui perkhidmatan McDelivery.

“Di McDonald’s Malaysia, keselamatan pelanggan dan pekerja adalah keutamaan kami. Sebab itulah kami meningkatkan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan dalam saat-saat sukar ini, terutamanya untuk perkhidmatan penghantaran makanan,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Prosedur operasi standard (SOP) di restoran

Walaupun ruang makan (dine-in) di restoran McDonald’s ditutup  semasa tempoh PKP, kebanyakan restorannya di seluruh negara dibuka untuk pesanan bungkus dan  pandu-lalu.

Di restoran, pihak syarikat telah memastikan standard keselamatan dan kebersihan makanan yang tinggi dipatuhi. SOP harian yang diguna pakai di semua restoran McDonald’s termasuk: –

  • Selepas restoran ditutup, setiap restoran akan menugaskan seorang Pengurus dan 4 kru untuk menjalankan pembersihan restoran secara menyeluruh. Ini meliputi setiap ruang di restoran seperti dapur, laluan Pandu-Lalu, ruang makan, dan ruang penyimpanan.
  • Semua kru dikehendaki memakai topeng muka dan sarung tangan. Ini termasuk kru yang ditugaskan memeriksa suhu badan pelanggan dan penghantar makanan.

“Adalah menjadi satu penghormatan kepada kami untuk terus menyajikan hidangan kegemaran rakyat Malaysia semasa mereka berada di rumah. Setinggi-tinggi penghargaan kepada kru McDonald’s di semua restoran kami di seluruh negara yang telah berkhidmat dengan gigih untuk memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan dari menu kami,” tambah Azmir.

McDonald’s Malaysia menggalakkan pembayaran tanpa tunai di semua restorannya di seluruh negara untuk mengurangkan sentuhan fizikal di antara kru dan orang ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *