McDonald’s dan RMHC dengan Pek “Kembali ke Sekolah”

Program Pek Kembali Ke Sekolah

McDonald’s dan RMHC dengan Pek “Kembali ke Sekolah” |  Seramai lebih 17,000 kanak-kanak sekolahrendah akan menerima pek “Kembali ke Sekolah”, satu inisiatif di bawah programtahunan “Kembali Ke Sekolah” yang dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) dengan kerjasamaKementerian Pendidikan Malaysia.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, program “Kembali Ke Sekolah” merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat McDonald’s di bawah Bulan Komuniti – Komuniti @ McD & RMHC, yang dilancarkan pada bulan Oktober tahun lepas. Usaha yang memberi tumpuan khusus kepada aktiviti berorientasikan kanak-kanak ini berlangsung selama sebulan sempena Hari Kanak-kanak Malaysia yang disambut pada hari Sabtu terakhir bulan Oktober setiap tahun.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar

“Program Kembali Ke Sekolah ini sangat penting dan bermakna kerana ia memberi bantuan kepada murid-murid sekolah rendah dalam kalangan keluarga miskin bandar, sekali gus mengurangkan beban kewangan keluarga yang terlibat,” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.

“Kanak-kanak dan ibu bapa daripada golongan miskin bandar tidak perlu risau mengenai sumber kewangan untuk membeli pakaian seragam dan kasut untuk ke sekolah. Kami di McDonald’s dan RMHC ingin melaksanakan tanggungjawab kami dengan menghilangkan kerisauan yang dihadapi oleh ibu bapa ini, seterusnya membolehkan anak-anak mereka memulakan tahun persekolahan yang baharu dengan penuh keyakinan,” tambah Azmir.

Majlis penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah

Melalui program “Kembali Ke Sekolah”, McDonald’s Malaysia, RMHC, francaisi dan rakan-rakan perniagaan yang mengambil bahagian akan menghulurkan bantuan berupa set pakaian sekolah baharu  bernilai RM100 setiap satu, kepada lebih 17,000 kanak-kanak daripada golongan miskin bandar di seluruh negara untuk sesi persekolahan tahun 2019. Setiap kanak-kanak akan menerima 1 set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah, dan sebuah beg sekolah.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik merupakan tetamu kehormat semasa majlis penyampaian rasmi pek “Kembali ke Sekolah” yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya. Majlis ini turut dihadiri oleh guru-guru dan para pelajar dari 18 sekolah lain.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik

“Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada McDonald’s Malaysia, RMHC, francaisi dan rakan-rakan perniagaan mereka yang sama-sama membantu menyediakan keperluan sekolah kepada kanak-kanak dari golongan miskin bandar,” kata Dr Maszlee, sambil menambah bahawa sektor swasta memainkan peranan penting dalam mencapai aspirasi sistem pendidikan negara.

“Semua pihak perlu berganding bahu untuk membangunkan sistem pendidikan yang menyeluruh, mantap dan maju. Ini termasuklah perkongsian dengan sektor swasta untuk menjalankan program-program pembangunan bakat, latihan vokasional, dan sokongan dana. Kami gembira kerana McDonald’s Malaysia dan RMHC melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini dalam membantu generasi muda, yang merupakan asas perubahan untuk masa depan yang lebih cerah. Kita semua perlu bersama-sama membudayakan rasa gembira, cinta dan saling hormat-menghormati kearah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif,” tambah Maszlee.

Dr. Maszlee bertanyakan sesuatu kepada murid-murud

Sumbangan keseluruhan di bawah program “Kembali Ke Sekolah” tahun ini berjumlah lebih RM1.7 juta. Program pada tahun ini turut mendapat kerjasama dari rakan-rakan perniagaan McDonald’s  kerana mereka turut mengakui bahawa program ini akan memberi kesan positif kepada masyarakat di sekitar lokasi perniagaan masing-masing. Rakan-rakan perniagaan yang turut serta termasuklah Kerry Ingredients, Guppy Plastic Industry, Eppor-Pack, Aladdin Pacific, McCain International, Aryzta Malaysia, dan francaisi-francaisi McDonald’s.

“Kami sangat berbesar hati melihat rakan-rakan perniagaan kami turut serta dalam menjayakan program pada tahun ini, kerana ia mencerminkan bahawa kami semua mempunyai kepercayaan yang sama dalam mencapai matlamat utama iaitu memberi keyakinan kepada kanak-kanak untuk memulakan tahun persekolahan yang baharu. Mewakili pihak McDonald’s dan RMHC, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakan perniagaan atas sokongan yang diberikan dan berkongsi visi yang sama dengan McDonald’s untuk memberi impak positif dalam kehidupan kanak-kanak,” kata Azmir, yang juga presiden RMHC.

Kanak-kanak ceria dengan Pek Kembali Ke Sekolah mereka

Selain program “Kembali Ke Sekolah”, Bulan Komuniti yang dianjurkan pada bulan Oktober ini juga melibatkan restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara yang memberi sumbangan kepada komuniti tempatan melalui lebih 170 program. Warga kerja restoran menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang bulan ini termasuklah membawa kanak-kanak dari rumah anak-anak yatim untuk melawat pelbagai tempat menarik seperti zoo dan taman rama-rama; lawatan ke wad kanak-kanak di hospital; membersihkan rumah anak yatim sempena perayaan Deepavali yang bakal tiba; dan meraikan kanak-kanak di restoran McDonald’s sempena sambutan Hari Kanak-kanak. Kakitangan McDonald’s di ibu pejabat juga tidak ketinggalan melakukan aktiviti melibatkan komuniti, dengan aktiviti gotong-royong di dua buah sekolah pendidikan khas integrasi, menderma darah, dan mengunjungi wad kanak-kanak pada pertengahan Oktober yang lalu.

“Di McDonald’s Malaysia, kami komited untuk memberikan impak positif kepada komuniti di tempat kami tinggal dan beroperasi. Kami menggalakkan kru restoran kami untuk menjalankan aktiviti yang membabitkan komuniti pada sepanjang tahun bagi menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada masyarakat tempatan yang memerlukan,” kata Azmir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *