Peserta Gegar Vaganza 6 Bangkit Merevolusikan Diri Dan Muzik Untuk Kekal Relevan Dalam Industri

Gegar Vaganza 6 logo

Peserta Gegar Vaganza 6 Bangkit Merevolusikan Diri Dan Muzik Untuk Kekal Relevan Dalam Industri | Pertandingan nyanyian yang menampilkan barisan penyanyi profesional, ‘Gegar Vaganza’ atau ‘GV’ hari ini mengumumkan tirai pentas utamanya untuk musim keenam akan kembali dibuka secara rasmi mulai 13 Oktober ini. Sekali lagi dipancarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap hari Ahad, 9.00 malam, musim terbaharu ini bakal menampilkan 13 peserta, terdiri daripada penyanyi solo, duo dan berkumpulan. Ini merupakan tahun kedua ‘GV’ menyaksikan penglibatan peserta duo dan berkumpulan, selepas format sebegini diperkenalkan buat pertama kalinya pada musim lalu dengan kehadiran kumpulan Elite, Forteen dan pasangan duo, Billy Zulkarnain.

Para peserta Gegar Vaganza 6

Untuk edisi kali ini, 13 peserta yang terdiri daripada sebelas peserta solo dan masing-masing satu peserta berkumpulan dan duo, kini bersiap siaga sepenuhnya untuk berentap di pentas berprestij satu-satunya program hiburan tanah air yang mengangkat kembali nama-nama penggiat portfolio seni yang pada suatu ketika dahulu pernah mengecapi kegemilangan dan diminati ramai.

‘GV6’ juga masih mengekalkan format asal penjurian yang mana nasib para peserta akan diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Sebelum ini, penyanyi Ayai Ilusi (’GV1’), Siti Nordiana (’GV2’), Azharina (’GV3’) Aishah (’GV4’) dan Noryn Aziz (’GV5’) juga pernah dinobatkan sebagai juara ‘GV’ untuk musim-musim yang terdahulu.

Selepas lebih 6 tahun bersiaran, ‘Gegar Vaganza’ dilihat sebagai bukan sekadar program hiburan semata-mata. Kami di bahagian produksi mengangkat ‘GV’ ini sebagai satu ekosistem yang menghubungkan penyanyi khususnya pemain ‘senior’ baik dari Malaysia mahupun negara-negara serantau seperti Singapura, Indonesia dan Brunei dengan pentas komersial arus perdana pada hari ini yang rata-ratanya didominasikan oleh golongan muda dan millennial.

GV6 dengan Datuk Ramli MS

Tidak dinafikan, ‘trend’ atau aliran arah persada seni pada hari ini mendambakan sesuatu yang lebih moden dan segar. Walaupun barisan penyanyi yang kami tampilkan di pentas ‘GV’ dari musim ke musim adalah terdiri dari mereka yang rata-ratanya berusia atau ‘lebih berpengalaman’, kami yakin, jika diberikan peluang untuk kembali beraksi di platform yang bertepatan, mereka boleh membuat ‘comeback’ dan akan diraikan semula oleh audiens industri.

Justeru, tidak hairan jika barisan peserta yang terpilih untuk bertanding di pentas ‘GV’ begitu bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan kembali kehebatan vokal dan persembahan mereka yang mungkin sudah lama tidak dipertontonkan demi memenangi hati juri dan juga penonton. Kami percaya, kerinduan anda semua akan terubat sebaik sahaja mengetahui nama-nama di sebalik ‘GV’ musim keenam ini. Turut tidak dinafikan, platform ‘GV’ juga dijadikan batu loncatan kepada barisan artis yang menyertainya sebagai satu lagi cabang rezeki mereka dalam meniti kehidupan seharian. Menerusi ‘GV’, mereka kembali dikenali, nostalgia lama terutamanya menerusi lagu-lagu ‘one hit wonder’ suatu masa dahulu membuatkan mereka diingati semula dan dihujani jemputan dari banyak penjuru untuk mengadakan persembahan dalam pelbagai skala. Kami merasakan bahawa ini merupakan salah satu bentuk sumbangan kami kepada industri, dengan meraikan penyanyi ‘senior’ tanah air khususnya, agar kembali diingati dan pada masa yang sama turut diperkenalkan seterusnya dijadikan contoh kepada generasi baharu.

‘Gegar Vaganza’ terus kekal menjadi sebuah jenama kukuh di persada seni. Ia membentuk satu linkungan ekosistem yang saling memerlukan di antara beberapa pemain utama industri seperti kami di Astro sebagai penganjur dan penyiar rasmi, barisan artis berpengalaman sebagai peserta, pihak penaja sebagai tulang belakang dan yang paling utama, peminat sebagai penyokong setia. Menerusi gabungan ini, ‘Gegar Vaganza’ musim terbaharu sekali lagi berjaya direalisasikan dan bersedia untuk menemui anda mulai Oktober ini. Kami yakin, revolusi ‘GV’ akan kembali mencetuskan sebuah fenomena hebat. Justeru, teruskan menonton!”

Rangkaian program ‘GV6’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Gempak, Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul, ‘Kapsul Gegar Vaganza’. Program kapsul ini akan bersiaran dari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 7 Oktober 2019.

Manakala konsert mingguan ‘GV6’ pula akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 8 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 13 Oktober 2019.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live +’ akan disiarkan secara serentak di www.gegarvaganza.com.my ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV6’ bermula 13 Oktober 2019.

#GegarVaganza2019 #KembaliBerontakDalamRentak 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *