RM20 Juta Kutipan Ejen Ali The Movie Dalam Masa 2 Minggu! | Primeworks Studios dan WAU Animation, hari ini mengumumkan filem animasi EJEN ALI THE MOVIE berjaya meraih kutipan sebanyak RM20 juta dalam masa dua minggu selepas filem ini mula ditayangkan pada 28 November 2019 yang lalu. Filem EJEN ALI THE MOVIE dinobatkan sebagai filem ‘pecah panggung tempatan’ apabila ia berjaya mendominasi carta filem tempatan dalam tempoh dua minggu berturut-turut.

Fenomena ‘EJEN ALI’ dirangsang hasil dari sokongan padu peminat-peminat Ejen Ali yang sentiasa memberikan respon positif sehingga ada yang menonton berulang kali.
Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata, “EJEN ALI THE MOVIE adalah penanda aras satu kejayaan baharu kepada Primeworks Studio apabila ia muncul sebagai filem yang paling berjaya dalam sejarah kami selama 25 tahun bergiat dalam industri filem. Kami bangga dapat menutup tirai tahun 2019 dengan pencapaian yang hebat apabila berjaya bersaing dengan gergasi industri animasi lain di Malaysia. Jutaan terima kasih
kami ucapkan kepada semua Ejen yang telah bekerja keras sehingga berjaya menakluki dunia animasi. Tanpa anda semua, kami tidak akan mampu mencapainya”,
Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation menambah, “Kejayaan filem EJEN ALI THE MOVIE menjadi peransang kepada kami dan sekaligus membuktikan hasil usaha keras kami selama ini berjaya membuahkan hasil apabila filem ini mendapat sokongan padu dari orang ramai khususnya peminat animasi EJEN ALI. Terus menyokong EJEN ALI THE MOVIE, kongsikan reviu positif, ajak rakan anda tonton filem ini di pawagam. Harapan kami agar angka kutipan makin meningkat dan tidak terhenti setakat ini”,
Misi Ejen Ali di teruskan di EJEN ALI MISI : OPTIMUM yang dikuasakan oleh Tenaga Nasional Berhad, yang berlangsung selama 6 hari di Sunway Pyramid, Petaling Jaya. Melalui program EJEN ALI MISI : OPTIMUM, peminat-peminat fIlem EJEN ALI THE MOVIE berpeluang merealisasikan impian untuk merasai pengalaman berada di dalam dunia perisikan Ejen Ali yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih. Kehangatan filem animasi EJEN ALI THE MOVIE yang masih berkuasa di pawagam seluruh Malaysia menarik minat ejen ‘cilik’ untuk menjalani latihan ejen MATA. Antara aktiviti-aktiviti menarik yang memeriahkan lagi program ini ialah persembahan tarian ‘viral’ Mamak Maju, sesi beramah mesra dengan maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia,bengkel IRIS DIY dan pertandingan mewarna.
Selain berpeluang merasai pengalaman berada di dunia perisikan, peminat-peminat Ejen Ali juga boleh mendapatkan barangan jenama Ejen Aliuntuk musim persekolahan tahun hadapan seperti beg, buku aktiviti, dan kelengkapan persekolahan lain. Selain dari itu, produk-produk di bawah rangkaian jenama Ejen Ali kini dipelbagaikan lagi dengan penghasilan produk ‘gaya hidup ala’ Ejen yang terdiri daripada set permainan serta alat kelengkapan Ejen.
Ejen Ali The Movie mengisahkan tentang Ali, seorang budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut
telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baharu ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh seorang individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.
Klik link dibawah untuk melihat:
Untuk maklumat lanjut tentang EJEN ALI THE MOVIE, sila ikuti:
- YouTube : www.youtube.com/ejenali
- Facebook : www.facebook.com/ejenali
- Instagram : www.instagram.com/ejen_ali
- Twitter : www.twitter.com/ejen_ali
#EjenAliTheMovie #EjenAli #AniMY