Telefilem ‘6 Hari’ Bukti Kekangan PKP Bukan Halangan

Telefilem 6 Hari

Sebagai pembuka tirai permulaan positif susulan perlaksanaan fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula semalam, Astro selaku pembekal kandungan utama di negara ini dengan berbesar hati membawakan tayangan telefilem istimewa berjudul ‘6 Hari’ yang bakal menemui para penonton pada hari Sabtu, 13 Jun 2020, jam 9.00 malam secara eksklusif di empat buah saluran utama iaitu Astro Ria (104), Astro Ria HD (124), Astro Citra (108) dan Astro Citra HD (128). Untuk pilihan yang lebih fleksibel, telefilem tersebut turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand.

Telefilem ‘6 Hari’ terbitan produksi Yureka Films dengan kerjasama Global Station Sdn Bhd ini diarahkan oleh Yusry Abdul Halim yang turut bertindak selaku penulis skrip di samping menyandang watak utama sebagai Faizal. Selain Yusry, telefilem ini turut diterajui oleh tiga selebriti popular tanah air iaitu Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Suzi, Dato’ Aaron Aziz sebagai Ismal dan Neelofa sebagai Linda.

Untuk makluman, keseluruhan penggambaran telefilem ‘6 Hari’ berjaya diselesaikan dalam masa enam hari meskipun terikat dengan kekangan terutamanya daripada segi teknikal, bekalan peralatan dan tenaga produksi sewaktu penguatkuasaan tempoh kritikal perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini. Uniknya, kesemua teraju utama yang menjayakan telefilem ini juga harus menjalani keseluruhan penggambaran secara sendiri dari kediaman masing-masing berdasarkan garis panduan yang diberikan.

6 Hari - Lisa dan Yusry

Mengulas lanjut mengenai penerbitan telefilem ‘6 Hari’, Emarina Kamal selaku Pengurus Saluran Astro Ria dan Astro Citra berkata, “Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Astro selaku pelopor industri kandungan utama di negara ini, kami amat gembira dengan penerbitan buah tangan terbaharu menerusi telefilem ‘6 Hari’ kerana karya ini bakal melakar sejarah dan meletakkan tanda aras tersendiri sebagai permulaan resam baharu dalam bidang hiburan. Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam menangani pandemik Covid-19, karya ini berjaya disudahkan hasil kerjasama kreatif dan komitmen semua pihak yang terlibat. Syabas kami ucapkan terutamanya kepada Yusry yang sanggup menyahut cabaran yang diberikan untuk berkarya di luar kotak dan zon selesa. Kami berharap ‘6 Hari’ mampu membuatkan penonton bergelumang dengan mainan emosi yang mendalam. Sama-sama kita saksikan apakah kesudahan drama ini nanti.”

6 Hari - Dato' Aaron Aziz

Yusry Abdul Halim, selaku tulang belakang utama telefilem ‘6 Hari’ turut berkata, “Proses pembikinan telefilem ini amat mencabar tetapi saya amat berpuas hati dengan produk akhir karya ini. Secara dasar, telefilem ini mengisahkan tentang dua individu yang terperangkap dalam konflik berkaitan dengan ‘sebutir berlian’. Tetapi secara tersiratnya, ia tentang pencarian diri, dan bagaimana watak-watak tersebut matang seiring dengan peredaran masa. Penceritaan ini terbentuk bukanlah seperti yang saya rancang dari awal. Saya temui makna tersiratnya pada hari ketiga penggambaran. Semakin saya tulis, semakin lapisan tersirat cerita ini keluar sedikit demi sedikit.”

6 Hari - Neelofa

Telefilem ‘6 Hari’ mengisahkan tentang Suzi yang bahagia sebagai isteri ketiga kepada seorang ahli perniagaan yang berjaya bernama Ismal. Suzi tinggal bersendirian di sebuah banglo kerana suaminya hanya akan pulang ke rumah setiap enam hari untuk menghabiskan masa dengan isteri-isterinya yang lain. Kehidupannya berjalan seperti biasa sehingga kemunculan bekas teman lelakinya, Faizal datang ke rumah. Faizal juga merupakan seorang bekas banduan yang baharu sahaja dibebaskan setelah dipenjarakan selama lapan tahun. Suzi yang kini sudah berubah menjadi seorang muslimah tiada pilihan lain dan terpaksa menerima kehadiran Faizal yang tidak diduga kerana bekas teman lelakinya itu telah mengugut untuk memberitahu kisah jenayah mereka kepada Ismal. Suzi juga sering berhubungan dengan kawan baiknya, Linda untuk mendapatkan nasihat dan pandangan dalam usaha menyelesaikan konflik tersebut. Apakah yang akan berlaku? Adakah Ismal akan mengetahui sejarah silam Suzi? Adakah Faizal akan melepaskan Suzi dan melupakan segala yang berlaku di antara mereka? Sama-sama kita saksikan.

Jangan lupa saksikan telefilem ‘6 Hari’ pada hari Sabtu, 13 Jun 2020, jam 9.00 malam secara eksklusif di empat buah saluran utama iaitu Astro Ria (104), Astro Ria HD (124), Astro Citra (108) dan Astro Citra HD (128). Untuk pilihan yang lebih fleksibel, telefilem tersebut turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand.

Selamat menonton dan kekal selamat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *