Zamaera Wakili Malaysia & Cipta Sejarah Di Pentas Istana Budaya Bagi Asean-Korean Music Festival Round 2020

Zamaera profile

Zamaera Wakili Malaysia & Cipta Sejarah Di Pentas Istana Budaya Bagi Asean-Korean Music Festival Round 2020 | Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, begitulah nasib empunya badan gadis lincah berbakat besar bernama Zamaera ini yang bakal beraksi di pentas antarabangsa ASEAN-Korean Music Festival (AKMF) Round 2020 yang dibawakan khas oleh stesen penyiaran nombor satu Korea iaitu Korean Broadcasting System (KBS), dan lebih istimewa lagi, ia akan disiarkan secara langsung dan atas talian ke seluruh dunia pada 6 Disember 2020 ini dengan melibatkan negara-negara besar gabungan ASEAN seperti Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Zamaera menerangkan, “Sebetulnya, beberapa bulan yang lepas, saya ada menyatakan hasrat saya untuk mengendalikan sebuah program secara langsung atas talian kepada pihak pengurusan Gushcloud, kemudian pada satu hari, tanpa disangka mereka memberitahu saya bahawa pihak AKMF Round 2020 mahukan saya membuat persembahan sekaligus mewakili Malaysia.”

Zamaera Wakili Malaysia Ke Asean-Korean Music Festival Round 2020

Zamaera yang kini sedang berjinak-jinak menceburi bidang lakonan juga berkata, “Saya rasa sangat bersyukur kerana telah dipilih dan direkomenkan oleh pihak Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sendiri untuk mewakili Malaysia dan ini merupakan penghargaan yang sangat besar buat saya sebagai seorang anak seni.”

“Kami telah merangka segala perancangan, koreografi yang dicipta oleh pereka tari, Ezra Tham, dengan latihan persembahan hanya dalam masa seminggu sahaja, walaupun penat dengan kekangan masa, saya masih seronok melakukannya.

“Kami telah melakukan rakaman terlebih dahulu di Istana Budaya dan saya diberitahu bahawa saya merupakan artis hip-hop wanita pertama melakukan persembahan di atas pentas penuh berprestij itu sejak ia mula beroperasi pada tahun 1999.

“Saya ingin kongsi berita gembira ini kerana saya dan team sangat bangga kerana sejarah telah tercipta dan bukan calang-calang artis yang berpeluang mendapat penghormatan sebegitu,” jelas beliau lagi.

“Saya akan menyajikan lagu baharu yang masih belum dilancarkan lagi dengan menampilkan artis baharu yang sedang meningkat naik dan semoga semuanya berjalan lancar.

Sebagai penyanyi hip-hop tempatan, banyak dugaan dan halangan yang terpaksa ditempuhi, namun Zamaera tidak pernah mengalah, “Kita sering berdepan dengan masalah ekspetasi yang tinggi, sepulangnya dari Chicago setelah merakamkan EP, saya rasakan etika bekerja di Malaysia sangat berbeza dan kita cepat berasa selesa.”

“Namun begitu, saya percaya dengan kerja keras dan usaha yang jitu, saya yakin pada satu hari saya mampu pergi jauh kerana setiap kejayaan perlu melalui kesusahan dahulu.

“Saya harap penonton seluruh dunia bakal terhibur dengan persembahan saya, termasuk rakan-rakan artis daripada negara ASEAN yang lain.

“Bukan saya sahaja, bahkan rakan-rakan artis daripada negara yang terlibat telah membuktikan bahawa muzik dapat merapatkan sempadan dunia dan membolehkan kita berhubung dengan satu sama lain melalui bahasa yang universal, dan pada masa yang sama saya juga ingin menyeru kepada anak-anak muda untuk menonton dan berfikir secara kreatif bagaimana kita boleh menambahbaik sesuatu persembahan pada masa akan datang,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *