Sunway Pyramid Ice Menganjurkan Skate Malaysia 2017 Yang Ke-11 │ Apa yang bermula hanya sebuah impian kini telah membuahkan hasil yang boleh dibanggakan. Semuanya tercipta di “Arena of Dream” Sunway Pyramid Ice….

Buat kali yang ke-11, Sunway Pyramid Ice menjadi selaku tuan rumah dalam penganjuran Skate Malaysia 2017 dan disokong oleh Ice-Skating Association of Malaysia (ISAM) serta Kementerian Belia dan Sukan. Skate Malaysia adalah acara figure skating antarabangsa yang disahkan oleh Institut Gelombang Ais Asia (ISI ASIA) untuk membangunkan sukan musim sejuk di wilayah Asia Tenggara, China, UAE, dan kawasan sekitarnya.

Hari ini, Skate Malaysia telah berkembang menjadi acara figure skating besar-besaran yang dihadiri oleh peluncur dari negara seluruh Asia, dan telah menampakkan hasil yang signifikan ke arah mencapai matlamat ISI Asia untuk membangunkan sukan musim sejuk di Asia.

Skate Malaysia 2017 sedang berlansung dari 29 Jun sehingga 2 Julai 2017 di Sunway Pyramid Ice bermula jam 10.00 pagi. Kejohanan 4 hari ini telah dimulakan pada petang 29 Jun 2017 dengan perarakan bendera dari negara-negara yang mengambil bahagian seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Cambodia, Taiwan dan Macau. Kemudian dihiburkan dengan persembahan anak-anak comel dari Akedemi Skating Sunway Pyramid Ice dan persembahan solo dari bakat yang lahir di Sunway pyramid Ice iaitu Chia Cheng Wei.
Turut hadir pada upacara perasmian tersebut ialah En. Kevin Tan, Ketua Pegawai Operasi Sunway Malls, En. Harry Janto, President ISI Asia, En. Alex yeung, Pengarah Eksekutif ISI Asia dan En. Billy Johan, Presiden Ice Skating Association of Malaysia (ISAM).

“Sebagai pelopor sukan luncur ais di negara ini, ia merupakan satu penghormatan bagi kami untuk menganjurkan acara bertaraf antarabangsa ini dan satu penghargaan buat kami dalam memainkan peranan penting mendidik ribuan orang tentang keseronokan meluncur ais. Meluncur ais di gelanggang ais seolah-olah seperti impian yang mustahil kerana ia hanya boleh ditemui di negara-negara yang beriklim sejuk. Oleh itu, kita berbangga menjadi antara yang terdahulu membawakan sukan luncur ais ke negara ini”, ujar En. Kevin.

Akademi Sunway Pyramid Ice telah melatih lebih daripada 6,000 pelajar, ada juga yang telah meneruskan impian mereka menjadi jurulatih professional dan bergerak aktif dalam kejohanan antarabangsa.
Tentang Sunway Pyramid Ice
Sunway Pyramid Ice adalah taman hiburan sukan ais pertama bertaraf dunia di Malaysia. Ia terletak pada kedudukan strategic di dalam pusat membeli-belah Sunway Pyramid, pusat peranginan bersepadu Sunway Resort Hotel & Spa, Taman Tema Sunway Lagoon, Pusat Konvensyen, universiti, kolej, sekolah antarabangsa, syarikat korporat dan komuniti kediaman.
Sunway Pyramid Ice adalah destinasi rekreasi yang popular di Malaysia yang menarik lebih kurang 15,000 skaters setiap bulan. Merangkumi saiz berukuran 39m x 22.5m, pemandangan yang menakjubkan serta reka bentuk gelanggang moden yang menarik dan memberikan pandangan terbuka bagi para pengunjung di setiap lima tingkat menonton aksi-aksi skaters.
Sunway Pyramid Ice telah menjadi tuan rumah bagi banyak kejohanan berprestij.
- Skate Asia – 1999, 2000, 2008, 2012 & 2016
- World Ice Hockey 5’s – 2001, 2005 & 2005
- Skate Malaysia – 1999 – 2017