Asthma Malaysia Lancar Kempen “Kawal Lelah Sebelum Parah”

Asthma Malaysia Lancar Kempen “Kawal Lelah Sebelum Parah” | Asthma Malaysia hari ini melancarkan Kempen “Kawal Lelah Sebelum Parah” untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang asma. Selaras dengan Hari Paru-Paru Sedunia 2020 dan situasi pandemik Covid-19 yang sedang berlaku kini, kempen ini diadakan untuk memperkasakan pesakit asma dengan ilmu pengetahuan serta kaedah terbaik dalam kawalan asma mereka.

Poster Kawal Lelah Sebelum Parah

Berlangsung di Kuala Lumpur hari ini, pelancaran kempen tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Jemilah Mahmood, Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam dan turut sama di pelancaran tersebut ialah Dr. Helmy Haja Mydin, Pakar Perunding Respiratori dan Pengasas Bersama Asthma Malaysia serta Dr. Sanjeev Panchal, Presiden Negara, AstraZeneca Malaysia.

Kempen ini melibatkan pelbagai pertubuhan dari profesion perubatan seperti Pertubuhan Torasik Malaysia (MTS), Persatuan Pakar Perubatan Keluarga (FMSA), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan sektor swasta di mana mempunyai matlamat yang sama iaitu meningkatkan kualiti hidup pesakit asma. Sektor-sektor swasta termasuk AstraZeneca Malaysia, AA Pharmacy, BIG Pharmacy, Caring Pharmacy, Alpro Pharmacy, AMPM Pharmacy, HTM Pharmacy, Multicare Pharmacy, Straits Pharmacy dan Wellings Pharmacy.

Asma ialah penyakit radang yang dihidapi oleh 339 juta orang di seluruh dunia.1 Di Malaysia, terdapat hampir dua juta pesakit asma. Penyakit respiratori merupakan punca kematian kedua di hospital-hospital Kementerian Kesihatan.2 Satu kajian tempatan Assessing Asthma Control level in Primary Care (ASCOPE) mendapati 8 daripada 10 pesakit di klinik merupakan pesakit asma ringan. Malangnya, kurang dari 50% mempunyai kawalan keseluruhan asma yang baik.3 Kewujudan COVID-19 turut menambah kebimbangan di kalangan pesakit asma, kerana asma yang tidak terkawal mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap komplikasi dari jangkitan virus tersebut.4

Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Special Advisor to the Prime Minister on Public Health

Baru-baru ini, organisasi garis panduan perubatan untuk asma, The Global Initiative for Asthma (GINA), telah mengemaskinikan garis panduan pengurusan asma yang terkini. Garis panduan tersebut tidak mengesyorkan penggunaan Short-Acting Beta2-Agonist (SABA) sahaja untuk melegakan simptom asma5 – Ini merupakan satu perubahan yang ketara untuk pengurusan asma dalam 30 tahun ini. Malahan, GINA juga telah menegaskan kebahayan penggunaan alat sedut SABA dengan berlebihan, iaitu 3 atau lebih kanister setahun.6 9

Kajian telah menunjukkan penggunaan SABA tanpa rawatan ubat kawalan untuk merawat keradangan telah dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan asma, kemasukan ke hospital7 serta kematian berkaitan dengan asma akibat keradangan saluran pernafasan yang teruk.5 Walaupun terdapat banyak bukti terhadap pengambilan SABA secara berlebihan, amalan pemberian preskripsi yang berlebihan dan kadar kebergantungan SABA masih berterusan.10

Untuk menangani kebimbangan ini, Asthma Malaysia telah bekerjasama dengan beberapa organisasi profesional dan entiti swasta untuk mendidik orang ramai dan pengamal profesional penjagaan kesihatan tentang kepentingan memutuskan rantaian penggunaan SABA secara berlebihan. Kempen kesedaran “Kawal Lelah Sebelum Parah” merupakan salah satu usaha yang memberi tumpuan tentang pendidikan awam dan memperkasakan individu dalam kawalan asma masing-masing.

Dr Helmy berkongsi bahawa, “Penggunaan atau kebergantungan berlebihan kepada SABA ataupun alat sedut pelega akan meningkatkan kadar morbiditi dan kematian. Pesakit yang menggunakan alat sedut pelega lebih daripada dua kali seminggu dianggap sebagai mempunyai kawalan asma yang kurang baik dan ini akan meningkatkan risiko serangan asma yang teruk. Justeru itu, pemahaman terhadap alat sedut pengawal sebagai rawatan keradangan adalah amat penting. Jika pesakit hanya menggunakan alat sedut pelega, keadaannya akan berpanjangan dengan risiko komplikasi.”

Dr Helmy Haja Mydin, Co-Founder of Asthma Malaysia and Consultant Respiratory Physician

Menurut Dr Helmy, walaupun tiada penawar, asma merupakan sesuatu keadaan yang boleh dikawal. Kawalan asma yang baik dikenalpasti dengan pengurusan simptom yang baik. Ini termasuk penggunaan alat sedut pelega tidak melebihi 2 kali seminggu, tidak mempunyai simptom asma pada waktu malam dan tiada batasan untuk tahap aktiviti normal. Namun begitu, disebabkan ketidakpatuhan dan penggunaan rawatan secara tidak betul, hanya 6% pesakit mempunyai kawalan asma yang baik.8

“Ini merupakan kali pertama GINA menyarankan penggunaan bersama ubat pelega dan ubat pengawal dalam rawatan simptom asma. Ini bukan sahaja membantu pesakit berasa lega, malah mula merawat keradangan di peringkat awal. Kajian juga mendapati bahawa rawatan ini telah mengurangkan dua pertiga risiko serangan asma yang teruk, berbanding dengan rawatan SABA sahaja. Dengan adanya panduan baru ini, amat penting bagi kita untuk memperkasakan pesakit asma dengan pengetahuan ini agar mereka dapat mengawal dan mengurus keadaan mereka dengan lebih baik,” kata Dr Helmy.

Dr Helmy juga berkongsi di dalam situasi pandemik kini, ramai pesakit berasa bimbang mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap kesihatan mereka. Beliau juga menegaskan bahawa penggunaan ubat pengawal yang sesuai boleh mengurangkan risiko komplikasi.

Selain kempen kesedaran “Kawal Lelah Sebelum Parah”, AstraZeneca Malaysia juga turut memberikan sokongan kepada usaha lain dalam meningkatkan pengurusan asma. Ini termasuk meningkatkan kemampuan profesional penjagaan kesihatan melalui siri webinar yang berterusan dan modul e-pembelajaran yang dikenali sebagai program PACE (Primary Asthma Care Excellence). Selain itu, risalah pendidikan mengenai penyakit asma terkini juga disediakan dan diberi kepada pesakit asma melalui program Breathe EaSY.

Dr Sanjeev Panchal, Country President of AstaZeneca Malaysia

Mengulas mengenai kerjasama bersama Asthma Malaysia dan kempen ini, Dr Sanjeev berkata, “Kami menyedari terdapat jurang secara keseluruhan dalam penjagaan pengurusan asma dan ini adalah penting untuk berkerjasama dengan organisasi yang tertentu bagi mewujudkan ekosistem holistik bersepadu yang berfaedah dan menyokong pengalaman pesakit secara keseluruhan. Kempen ini merangkumi sokongan untuk pesakit dan profesional kesihatan menerusi diagnosis, rawatan dan pencegahan.”

“Kerjasama bersama Asthma Malaysia ini sangat bermakna kerana ia membolehkan kita mencipta ekosistem yang mengutamakan pesakit untuk menangani jurang dalam rawatan pesakit asma. Kerana pesakit adalah keutamaan kami, kami menyokong sepenuhnya kempen ‘Kawal Lelah Sebelum Parah’ kerana kami percaya bahawa kempen kesedaran ini adalah cara yang berkesan untuk membantu dan memberikan panduan kepada pesakit asma dalam pengurusan asma mereka. Kami ingin memperkasakan dan membantu mereka untuk memainkan peranan yang aktif dalam pengurusan kesihatan mereka,” tambah Dr Sanjeev.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila layari laman Asthma Malaysia Facebook Page.


  1. The Global Asthma Network. The Global Asthma Report 2018. Available from http://www.globalasthmanetwork.org/Global%20Asthma%20Report%202018.pdf. Last accessed, 9 May 2020.
  2. Health Facts 2017. Ministry of Health Malaysia. Planning Division. Health Informatics Centre.
  3. Mohd Isa NA et al (2019, January 2019). Assessment of Asthma Control Level in Primary Care Setting in Malaysia (ASCOPE) Med J Malaysia. 2020; 75(4): 331 – 337
  4. Centers for Disease Control and Prevention. Coronavirus Disease. People Who Need Extra Precaution. Available from https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/need- extra-precautions/asthma.html. Last accessed, 6 May 2020.
  5. Global Initiative for Asthma. Global Strategy for Asthma Management and Prevention. Available from https://ginasthma.org/wp-content/uploads/2020/04/GINA-2020-full- report_-final-_wms.pdf. Last accessed, 8 May 2020.
  6. Reliever inhalers. (n.d.). Retrieved from https://www.asthma.org.uk/advice/inhalers- medicines-treatments/inhalers-and-spacers/reliever/
  7. Schatz M.et.al.J Allergy Clin Immunol.2006;117:995-1000
  8. Thompson PJ et al. Respirology. 2013; 18: 957-967
  9. Kaplan.A et.al. (2020, March 27).Effective Asthma Management: Is It Time to Let the AIR out of SABA? PubMedCentral http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7230470/
  10. Janson, C., Menzies-Gow, A., Nan, C. et al. SABINA: An Overview of Short-Acting β2-Agonist Use in Asthma in European Countries. Adv

Mengenai Asthma Malaysia

Asthma Malaysia adalah sebuah pertubuhan yang bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk menjadi sumber yang boleh dipercayai tentang asma, untuk meningkatkan kesedaran terhadap piawaian penjagaan terbaik dan memperkasakan pesakit dalam pengurusan asma mereka.

Asthma Malaysia berusaha untuk menjadi portal bagi asma yang terulung di Malaysia dengan harapan untuk memperkasakan pesakit dan menambah pengetahuan mereka tentang penyakit asma. Kami berhasrat untuk memastikan penjagaan asma di Malaysia adalah setanding dengan yang terbaik di dunia dengan harapan untuk mengurangkan penderitaan dan kematian yang berkaitan.

Kami juga berhasrat untuk menjadi sebuah pertubuhan yang terlibat secara proaktif dalam kempen penyelidikan dan promosi untuk meningkatkan kesedaran terhadap asma di Malaysia.

Mengenai AstraZeneca

AstraZeneca adalah sebuah syarikat biofarmaseutikal global berpacukan sains yang menumpukan kepada penemuan, pembangunan dan pemasaran ubat-ubat preskripsi, terutama sekali untuk rawatan penyakit dalam tiga bidang terapi utama – Onkologi, Kardiovaskular & Penyakit Metabolik dan

Respiratori. Syarikat ini secara terpilih juga aktif dalam bidang autoimuniti, neurosains dan jangkitan. AstraZeneca beroperasi di lebih 100 negara dan ubat keluarannya yang inovatif digunakan oleh berjuta- juta pesakit di seluruh dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *