Bujang Hael Husaini Dengan Sentuhan Melodi Western 80-an

COVER ART BUJANG

Bujang Hael Husaini Dengan Sentuhan Melodi Western 80-an | Penyanyi serta penulis lirik terkemuka negara yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu dua tahun berturut-turut, Hal Husaini Razmi atau lebih terkenal dengan panggilan Hael Husaini kembali menghangatkan industri muzik tanah air sekali lagi dengan single terbaharu berjudul ‘Bujang’. Hasil nukilan beliau sendiri dengan kolaborasi mantap oleh komposer penuh berbakat MFMF, lagu ‘Bujang’ diberi suntikan kelainan dengan melodi ala Western 80-an dan dikatakan bakal menjadi hit seperti karya-karya yang sebelumnya.

Tatkala negara masih lagi berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Hael untuk terus berkarya, “Sepatutnya lagu ‘Bujang’ dilancarkan pada April yang lalu akan tetapi wabak COVID-19 yang melanda negara sedikit sebanyak telah memberi kesan terhadap pelancaran single dan mana-mana aktiviti seni.

Bujang dengan sentuhan melodi western 80-an

Saya boleh anggap dengan pelancaran single terbaharu ini ia merupakan titik permulaan yang baru dan segar terhadap karier seni saya buat tahun 2020. Selepas ini, saya akan mula fokus dengan rangka promosi yang telah disusun rapi oleh pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment,” jelas beliau.

Hael Husaini dengan Single terbaru 'Bujang'

Bercerita mengenai lagu ‘Bujang’, pelantun lagu Terlanjur Cinta bersama penyanyi dari seberang Cakra Khan yang kini sedang berada dalam Top 5 Carta RIM (Recording Industry Association of Malaysia) ini berkata, “Ia berkisar tentang seorang lelaki ‘bujang’ yang sedang mencari cinta .

Namun begitu dia terus berusaha dalam pencariannya kerana melihat orang di sekelilingnya yang mempunyai pasangan dan teman hidup.”

Mengulas lanjut tentang single ini, Hael menerangkan, “Idea ini tercetus kerana status saya yang masih bujang dan kebanyakkan teman teman rapat saya juga masih bujang, Maka terhasillah lagu ini mewakili kaum ‘bujang’ di luar sana.

Proses rakaman lagu ‘Bujang’ telah pun dilakukan sebelum PKPP lagi, beliau memberitahu, “MFMF adalah genius dalam muzik. Setiap seorang daripada mereka mempunyai kelebihan dan peranan masing-masing dalam setiap karya yang dihasilkan bersama saya. Mereka juga bersikap terbuka dalam setiap idea dan penambahbaikkan yang diberikan antara satu sama lain.”

Pemenang Artis Kolaborasi Duo di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2019 yang sentiasa muncul dengan formulasi lagu-lagu hit ini tidak lokek berkongsi rahsia, “Sebenarnya tiada sebarang rahsia, saya hanya akan berkarya apabila saya bersedia dan ada idea atau inspirasi untuk sesebuah lagu.

Jujur saya katakan saya tidak akan ke studio jika tiada idea, saya tidak akan hasilkan sesebuah lagu secara paksaan, nanti ‘jiwa’ untuk lagu itu pasti serba tidak kena. Namun jika idea dan inspirasi itu datang, memang saya akan ‘all out’ dalam penghasilan sesebuah lagu itu.”

Hael turut menambah, “Saya berharap agar single ‘Bujang’ dan lagu-lagu saya diterima ramai dan berjaya mendapat perhatian pendengar.

Selain itu, saya dan pihak pengurusan  bakal menyiapkan sebuah album penuh yang pertama dalam tahun ini. Saya jangkakan ada beberapa lagu baharu yang akan turut dimuatkan dalam album tersebut.

Impian saya juga adalah menginginkan sebuah konsert berskala sederhana seiring dengan pelancaran album saya nanti.”

Lagu ‘Bujang’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Bujang’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *