Kids Eco Dash Siri Ke-2 Tahun 2017 | Sabtu lepas bertempat di Menara Kuala Lumpur telah berlangsung Kids Eco Dash 2.0 2017. Ini merupakan siri ke-2 untuk tahun ini dengan objektif memberi pengalaman larian “BIG RACE” yang diadakan di lokasi tarikan eko-pelancongan yang selamat dan “educational”. Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPK) merupakan pengajur acara Kids Eco Dash dan turut mendapat kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta pihak swasta iaitu Tough Gorilla.

Untuk siri ke-2 ini, Naz dah paksa anak-anak Naz untuk turut serta. Sebelum ini ketika siri pertama yang berlangsung di Taman Botani Negara Shah Alam tidak dapat kami sertai kerana pulang ke kampong. Ibubapa serta ahli-ahli keluarga dapat turut serta sebagai sukarelawan, bukan hanya untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka yang mungkin terlibat dalam acara tersebut malahan bersuai kenal dengan ibubapa yang lain selain membantu dalam pengurusan logistik seperti memastikan kebersihan kawasan, taklimat acara kepada ibubapa, pengagihan race-kit dan sebagainya.


Melalui acara ini, ianya bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menunjukkan rasa sayang kepada Negara melalui perkongsian pengalaman melancong atau beriadah di destinasi-destinasi pelancongan melalui media sosial menerusi satu kempen yang dikenali sebagai Kempen Media Sosial #SayangMalaysia.
Acara utama bagi Kids Eco Dash 2.0 ini adalah acara larian yang terbahagi kepada 3 kategori iaitu:
- Kategori Caterpillar – untuk pelari berusia 4-6 tahun – jarak larian 1 km
- Kategori Rabbit – untuk pelari berusia 7-9 tahun – jarak larian 1.8 km
- Kategori Tiger – untuk pelari berusia 10-12 tahun – jarak larian 3 km

Anak lelaki Naz dalam kategori Rabbit dan anak perempuan Naz pula dalam kategori Tiger. Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Rashidi bin Hasbullah, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dalam upacara flag-off.

Penyertaan bagi siri kedua Kids Eco Dash 2.0 2017 ini adalah sejumlah 500 penyertaan iaitu 250 peserta untuk kategori “Caterpillar’, 150 penyertaan untuk kategori “Rabbit” dan 100 penyertaan untuk kategori “Tiger”.



Selain itu, terdapat pengisian-pengisian lain seperti Garden Experience, permainan berkaitan Kitar Semula, Petting Zoo, gerai jualan, permainan trampoline (Jump Street) dan bermacam lagi ada di sini.


Dengar cerita, KPK berhasrat untuk membawa acara ini ke seluruh negara dan beberapa negeri untuk mempromosikan produk pelancongan berasaskan eko-pelancongan yang dikenalpasti sesuai untuk melaksanakan acara ini seperti Taman Botani Pulau Pinang, Taman Botani Putrajaya serta banyak lagi.