McDonald’s Malaysia Luaskan Rangkaian McDelivery Bersama foodpanda | Memesan sajian McDonald’s dalam keselesaan anda sendiri dipermudah dengan langkah McDonald’s Malaysia meluaskan rangkaian perkhidmatan penghantaran McDelivery. Aplikasi mudah alih bahru McDonald’s, tambahan titik penghantaran di seluruh negara, dan kerjasama dengan foodpanda dalam satu pakatan perkongsian strategik kini membolehkan pelanggan memesan makanan kegemaran mereka pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja.
Usaha meluaskan rangkaian perkhidmatan penghantaran ini dilakukan selepas McDonald’s mengamati perubahan trend dan kecenderungan pengguna serta perubahan dalam landskap perniagaan yang telah mengwujudkan peluang untuk menghantar hidangan makanan McDonald’s , manisan atau minuman McCafe dengan memanfaatkan kemudahan e-dagang.
Dengan peluasan rangkaian McDelivery dan kerjasama dengan foodpanda, McDonald’s menjangkakan kenaikan ketara sumbangan hasil daripada McDelivery seiring perkembangan pesat saluran perniagaan ini. Untuk tempoh antara Januari hingga Jun 2018, McDelivery sudah pun mencatat kadar pertumbuhan 80 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Aplikasi mudah alih baharu McDonald’s, yang boleh dimuat turun dari Apple App Store dan Google Play Store, bukan sekadar aplikasi untuk membuat pesanan makanan. Fungsi lain yang menarik termasuk promosi dan tawaran eksklusif harian untuk pelanggan, tempahan untuk majlis hari jadi, mencari lokasi restoran, permohonan pekerjaan, berita dan maklumat terkini daripada McDonald’s, dan juga maklum balas pelanggan.
Bukan setakat itu sahaja, pelanggan McDonald’s juga ditawarkan promosi tersuai menggunakan aplikasi baharu ini berdasarkan rekod pembelian bagi memastikan mereka menerima tawaran paling relevan untuk mereka. Fungsi baharu ini membuktikan bahawa aplikasi direka bentuk sebagai “pusat setempat” untuk menyenangkan pelanggan zaman sekarang yang sentiasa sibuk ke sana sini.
Selain daripada itu, peminat setia McDonald’s boleh merasa gembira kerana McDelivery kini boleh didapati 24 jam sehari.
Menurut Melati Abdul Hai, Naib Presiden / Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, usaha meluaskan perkhidmatan McDelivery adalah kerana peningkatan permintaan, yang sebahagian besarnya didorong oleh perubahan gaya hidup pengguna dan juga anjakan dalam landskap perniagaan yang sentiasa berubah.
“Pada zaman sekarang, rakyat Malaysia mendapati sukar untuk keluar makan disebabkan kesibukan dan jadual tugas yang ketat. Sama ada mereka tersangkut dalam mesyuarat kerja, kesesakan jalan raya, atau lebih suka berehat di rumah, mereka patut diberi pilihan untuk menikmati makanan kegemaran mereka.
“Sebagai sebahagian daripada rancangan peluasan ini, McDonald’s komited untuk mencuba saluran yang belum diterokai sebelum ini bagi mencapai matlamat yang kami tetapkan, seperti menyediakan lebih 310 titik penghantaran menjelang tahun ini,” katanya sambil menjelaskan bahawa strategi jangka panjang adalah untuk melengkapkan sekurang-kurangnya 90 peratus restoran McDonald’s dengan perkhidmatan McDelivery menjelang 2025.
Pakatan perkongsian strategik dengan foodpanda akan memperluas dan mendekati lebih ramai pelanggan McDonald’s di seluruh negara, dan menghantar ke kawasan baharu menerusi rangkaian penghantaran foodpanda yang luas.
Melati seterusnya menjelaskan bahawa sebagai rakan kerjasama terbesar foodpanda, McDonald’s teruja kerana dapat memanfaatkan rangkaian luas yang telah dibina oleh foodpanda untuk mendekati kepada lebih ramai pelanggan di Malaysia.
Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das, berkata, “Kami amat gembira untuk meletakkan McDonald’s Malaysia dalam rangkaian pengurusan penghantaran foodpanda. Pakatan perkongsian strategik ini selaras dengan misi kami untuk membawa makanan yang menceriakan kehidupan seharian dan memuaskan selera pelanggan kami yang meminati McDonald’s dalam keselesaan rumah atau pejabat mereka sendiri.”
Memandangkan perkhidmatan penghantaran makanan kini menjadi lebih relevan, McDonald’s berhasrat untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan pengendali pihak ketiga pada masa akan datang.
Di majlis yang sama, McDonald’s Malaysia juga memperlihatkan logo baharu McDelivery kepada wakil media, dengan janji untuk membawa senyuman kepada pelanggan dari satu tempat ke satu tempat.
Nantikan peraduan McDelivery pada 1 – 15 Ogos 2018 nanti, dan mungkin sajian pesanan anda akan dihantar oleh Fattah Amin atau Fazura.