OlaBola The Musical Mantap, Bertenaga & Luar Biasa | Tepat jam 12.30 pagi persembahan tamat setelah hampir 3 jam 20 minit berlangsung. Sebanyak 2 babak dipersembahkan, 26 adegan dilakonkan, 21 lagu dinyanyikan, 45 pelakon menyerlahkan bakat dan lebih dari 100 tenaga produksi telah menjayakan OlaBola The Musical Media Premiere pada 7 Febuari 2018. Memang LUAR BIASA!
Seperti Puteri Gunung Ledang The Musical Musim Pertama (Febuari 2006), Musim Kedua (Ogos 2006) dan Musim Ketiga (Febuari 2009), produksi OlaBola The Musical boleh diangkat setaraf produksi yang lalu. Persembahan yang mantap, bertenaga, menghiburkan serta mengabungkan bentuk teknologi digital dalam persembahan sungguh membanggakan. Satu lagi hasil sentuhan magis Puan Sri Tiara Jacquelina….

Persembahan OlaBola The Musical kini telah melakar sejarah sebagai persembahan teater paling lama hari pementasan di Istana Budaya yang bermula 8 Febuari sehingga 11 March 2018. Naz sungguh terhibur dan kagum dengan persembahan ini yang dibaris oleh….
| Para Pelakon | Watak Dalam Cerita | |
| Iedil Putra | – | Rahman Ramli |
| Brian Chan | – | “Tauke” Chow Kwok Keong |
| Abi Manyu | – | “The Spiderman” Muthu |
| Luqman Hafidz | – | Ali |
| Jian Wen | – | Ong Tiam Chai |
| Mikhail Merican | – | Abu |
| Farhi Akushi | – | Samad |
| Prem Sagar Krishnan | – | Sanjeet |
| Mohd Ridzwan | – | Masali |
| Kalai “The Dancer Man | – | Gunalan |
| Arief Danial | – | Riduan |
| Douglas Lim | – | Uncle Wong |
| Stephen Rahman-Hughes | – | Coach Harry Mountain |
| Melissa Ong | – | Mei Ling |
| ….dan ramai lagi…. | ||
OlaBola The Musical ini mengisahkan mengenai pasukan bolasepak Malaysia dalam perjalanannya untuk layak ke Sukan Olimpik 1980. Pementasan ini adalah berdasarkan filem OlaBola arahan Chiu Keng Guan yang diterbitkan pada 2016.
Setibanya didalam panggung, kedengaran sorakan penonton dan kelihatan seolah-olah berada di dalam Stadium Merdeka pada tahun 1976 di mana ketika itu Malaysia melawan Korea Selatan untuk melayakkan pasukan ke Olimpik 1976 di Montreal, Kanada. Namun Tauke telah menerima kad merah dan pasukan Harimau Malaya tumbang….seperti yang dikisahkan dalam filem sebelum ini.
Iedil Putra memang bersahaja dengan wataknya, Rahman Ramli, yang bercita-cita untuk menjadi pengulas sukan tanahair. Iedil dari mula persembahan telah berjaya menarik perhatian penonton dengan nyanyiannya dan telatah komedinya yang mencuit hati. Sepanjang persembahan Rahman merupakan watak penting dan Iedil memang harus dipuji dengan keberkesanan lakonannya.







Kai Chalmers sebagai Eric, merupakan pendatang baru yang sungguh berbakat. Pelakon kelahiran Hong Kong berdarah campuran Amerika-Malaysia ini mempunyai Sarjana Seni dalam teater musikal dari The Arts Educational School, London.
Seperti dalam filem sebelum ini, gabungan elemen Malaysia memang jelas dalam pasukan bolasepak Malaysia yang berbilang kaum ini. Mempunyai pelbagai rintangan kehidupan dari sudut ekonomi, sosial dan kekeluargaan, namun pemain-pemain bola sepak ini terus ingin berbakti mengharumkan nama negara dalam arena sukan dunia.

Persembahan yang amat baik dari semua para pelakon, konsep pentas yang hebat dengan gabungan teknologi digital merangsangkan lagi persembahan, skor muzik yang menghiburkan dan catchy, OlaBola The Musical memang harus ditonton oleh semua atlet sukan Malaysia khususunya dan masyarakat Malaysia amnya.




Harapan Naz, semoga pihak produksi dapat menzahirkan pementasan ini dalam bentuk rakaman video mahupun original soundtrack yang boleh dibeli selepas pementasan ini. Sekalung tahniah kepada Puan Sri Tiara Jacquelina yang merancakkan lagi industry teater Malaysia, para pelakon dengan lakonan bersahaja yang terbaik dan krew-krew di belakang tabir yang berhempas pulas menjayakan persembahan teater hebat ini.

OlaBola The Musical memang #LUARBIASA
#OlaBolaMusical #LuarBiasa #EnfinitiMY #OlaBola #TeaterMuzikal #MusicalTheater #nazlannasirdotcom