‘PERWIRA’ NING BAIZURA Istimewa Sempena Kempen Tabung Pahlawan

PERWIRA

‘PERWIRA’ NING BAIZURA Istimewa Sempena  Kempen Tabung Pahlawan | Bersempena dengan pelancaran kempen Tabung Pahlawan, Primeworks Studio Sdn Bhd dengan berbesar hati telah melahirkan sebuah lagu istimewa untuk semua perwira di negara kita.

kredit lagi: youtube Primeworks Studios Sdn Bhd

Lagu hasil ciptaan Aubrey Suwito dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio Sdn Bhd, Ahmad Izham Omar, ‘Perwira’ dinyanyikan oleh penyanyi bersuara soprano Ning Baizura ini dicipta khas untuk kempen Tabung Pahlawan yang bertujuan untuk mengutip dana yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran serta Angkatan Tentera Malaysia sebagai satu tanda penghormatan kepada perwira negara yang telah berkorban untuk tanah air selama ini.

Proses rakaman lagu ini telah dilakukan pada penghujung bulan Jun di studio Cranky Music, milik Aubrey dan mengambil masa kurang dari empat jam.

PERWIRA dendangan Ning Baizura

“Saya berasa cukup terharu apabila menerima undangan dari Ahmad Izham Omar yang sudi mengajak saya berkolaborasi untuk lagu ini. Lagu ini adalah satu tanda apresiasi kami terhadap segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh anggota barisan hadapan di negara kita. Walaupun saya tidak berapa mengenali para pejuang ini dengan lebih dekat, tetapi ingatan saya terhadap pengorbanan mereka menjadi inspirasi kepada penghasilan lagu ini”. ulas Aubrey Suwito.

PERWIRA - Ning Baizura dan Aubrey Suwito

“Kami berharap dengan terhasilnya lagu ini, akan timbul kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para wira negara dalam memastikan kita hidup dalam aman damai dan sejahtera”. tambah Ahmad Izham Omar.

Pemilihan Ning Baizura untuk menyanyikan lagu ini telah dibuat bersama oleh Aubrey Suwito dan Ahmad Izham Omar apabila proses keseluruhan lagu ini siap diperdengarkan.

“Hasil perbincangan, kami merasakan Ning Baizura layak dan sesuai untuk mengalunkan ‘Perwira’.  Kami percaya Ning mampu untuk menghidupkan lagu ini. Kebolehan beliau dalam mengekspresikan lagu dengan begitu indah, menyentuh hati dan perasaan dengan penjiwaan yang mendalam memang tidak dapat dinafikan. Kami begitu teruja apabila Ning menerima lamaran kami untuk menyanyikan lagu ini. ” jelas Ahmad Izham Omar.

Ning Baizura berkata, “Lagu ‘Perwira’ adalah single terbaru saya setelah sekian lama tidak muncul dengan lagu baru. Saya sangat berasa terharu dan gembira atas pelawaan Aubrey dan Ahmad Izham dan berterimakasih  kerana memberi peluang ini kepada saya.  Ini adalah projek pertama saya bersama mereka dan mengharapkan agar peminat di luar sana dapat menerima lagu istimewa ini yang ditujukan khas kepada semua perwira di luar sana yang telah berkorban demi agama bangsa dan negara .”

‘Perwira’ boleh didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 17 Julai 2020.

#tabungharipahlawan #jhev #veteran

Lirik ‘PERWIRA’

Setiap langkah ku membakar

Semangat di hati ini

Janji ku kepada negara

Untuk berjasa, untuk berjuang

Untuk berbakti

Biar apa saja kan ku harungi

Pengorbanan demi cinta ibu pertiwi

Perwira

Kau satria

Kaulah sinar, kau harapan

Bangsa, agama, negara

Perwira

Ku berdoa

Sejahtera kau di sana

Aman damai senantiasa

Kau pahlawan kita

Setiap nafas ku hembuskan

dengan nama mu di hati

Namun ku teguhkan janji ku

Untuk berjasa, untuk berjuang

Untuk berbakti

Aku berserah kepada Ilahi

Pengorbanan selamanya ‘tuk ibu pertiwi

“Kami                 –         (Oleh Zainal Ariffin Ismail)

Akan setia, demi negara

Kami

Sedia berkorban, demi negara

Kami

Tidak sekali-kali mengenal menyerah”    

Penyanyi : Ning Baizura

Terbitan dan Susunan Lagu : Aubrey Suwito

Muzik dan Lirik : Aubrey Suwito & Ahmad Izham Omar

Koir Lelaki : Izzad Izzuddin , Gideon Yogan, Patrick Leong, Bobo Fahad, Aubrey Suwito,  Ahmad Izham Omar

Ikrar Telah Dibaca Oleh : Zainal Ariffin Ismail

Jururakam : Keith Yong & Aubrey Suwito di Cranky Music Studio

Juruadun: Sunil Kumar

Ini adalah sebuah penerbitan Primeworks Studios Sdn Bhd


Mengenai Primeworks Studios

Primeworks Studios adalah syarikat produksi terkemuka di Asia Tenggara yang bergiat dengan pelbagai pengolahan kandungan kreatif seperti penerbitan TV dan filem, jualan kandungan syarikat, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, serta perlesenan dan perdagangan. Ia merupakan sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang telah menghasilkan lebih 3,000 jam isi kandungan hebat untuk pelbagai platform televisyen, pawagam dan digital setiap tahun. Juga, sebagai rumah produksi, Primeworks Studios adalah lambang mutu kreatif disamping pelbagai genre kandungan termasuklah hiburan, majalah, dokumentari, sukan dan drama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *