Keriangan Festival Musim Bunga bersama Warga Emas di the Curve | Dengan sambutan Tahun Baru Lunar bakal menjelang tidak lama lagi, the Curve baru-baru ini menceriakan sekumpulan penghuni Rumah Orang Tua Ampang sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan pada tahun ini.

Kehadiran 20 warga emas sebagai tetamu istimewa tersebut disambut mesra oleh Pasukan Pengurusan the Curve sebelum mereka dibawa ke Centre Court yang dihiasi indah dengan pepohon sakura dan bunga-bungaan berwarna-warni. Pemandangan puncak gunung mewujudkan persekitaran nyaman yang memberi keselesaan kepada warga emas yang diraikan. Pada masa yang sama irama klasik Tahun Baru Cina jelas berkumandang dengan alunan muzik instrumen tradisional masyarakat Cina seperti pipa, erhu dan guzheng yang sememangnya mewujudkan suasana perayaan yang terpahat di dalam hati para tetamu.
Keceriaan jelas tampak pada setiap wajah apabila persembahan utama bermula dan membawa para penonton ke dunia pengembaraan muzikal yang menyeronokkan. Berjudul Lady of Spring Musical, persembahan istimewa yang menampilkan gerak tari lemah gemalai itu telah memukau pandangan serta menghiburkan para penonton dari mula hingga akhir.

Susulan persembahan muzikal berkenaan, pihak the Curve terus menghiburkan warga emas yang hadir dengan persembahan Tarian Singa tradisional. Daripada rentak dram yang bertenaga sehingga pukulan simbal yang meriangkan, persembahan penuh aksi itu tentunya menyerlahkan lagi mood perayaan kepada semua.

Jazmi Kamarudin, Pengurus Besar the Curve berkata, “Sambutan pada kali ini amat bermakna bagi kami. Di the Curve, kami sentiasa percaya bahawa ia adalah tanggungjawab kami bersama untuk berkongsi rezeki yang ada bersama mereka yang kurang bernasib baik, di samping menghargai golongan warga emas yang banyak menabur bakti bagi kesejahteraan generasi muda hari ini. Kami amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk meluangkan masa bersama tetamu yang dihormati dari Rumah Orang Tua Ampang pada hari ini. Kami berharap aktiviti pada hari ini menggembirakan mereka, sama seperti keseronokan yang kami rasai bersama mereka.”

Menutup tirai pada acara tersebut, warga emas yang hadir masing-masing menerima beg hadiah dan Ang Pow daripada pihak the Curve sebelum dibawa ke restoran Little Penang Cafe untuk makan tengah hari enak yang disediakan seperti acara makan besar sempena Tahun Baru Cina.
Kempen Tahun Baru Cina the Curve berlangsung dari 19 Januari sehingga 18 Februari 2018. Bertemakan Lady of Spring, para pengunjung pusat beli-belah berkenaan pasti terpesona dengan kepelbagaian persembahan dan aktiviti menyeronokkan yang disediakan, di samping tawaran menarik oleh pelbagai pusat jualan yang ada.

Pelanggan yang membuat persediaan perayaan ini juga berpeluang membawa pulang Paket Kemakmuran apabila berbelanja minimum RM188 dalam maksimum dua resit melalui kempen berkenaan. Selain itu, sebuah Kotak Kemewahan Musim Bunga menunggu bagi mereka yang membuat perbelanjaan RM388 ke atas dalam minimum dua resit di mana-mana pusat jualan di the Curve. Kesemua penebusan tertakluk pada terma dan syarat.
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kempen Tahun Baru Cina the Curve, hubungi Pegawai Khidmat Pelanggan the Curve di talian 03-7710 6868 atau layari laman web www.thecurve.com.my atau Facebook www.facebook.com/theCurveShoppingMall.