Naskah ‘Frontliner’ Angkat Tema Pengorbanan & Konflik Dalaman

Frontliner

Naskah ‘Frontliner’ Angkat Tema Pengorbanan & Konflik Dalaman | Filem televisyen (FTV) ‘Frontliner’ merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini.

Barisan pelakon 'Frontliner'

Buah tangan terbaharu terbitan syarikat produksi D’Alphalegacy (M) Sdn. Bhd. ini turut mendapat sentuhan kreatif A’minahtul Marrdiah selaku penulis skrip dan diarahkan oleh sutradara berkaliber Razif  ‘Ajiboy’ Rashid.

‘Frontliner’ dijangka bakal bersiaran menerusi platform Astro First Eksklusif di saluran 480 pada Oktober ini. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, FTV ini juga boleh distrim di platform digital menerusi perkhidmatan On Demand. Butiran lanjut mengenai tarikh siaran dan cara-cara untuk melanggan naskah ‘Frontliner’ akan diumumkan kelak.

A’minahtul Marrdiah Pengarah D’ Alphalegacy (M) Sdn. Bhd & Penulis Skrip ‘Frontliner’

A’minahtul Marrdiah Pengarah D’ Alphalegacy (M) Sdn. Bhd & Penulis Skrip ‘Frontliner’, “Sebagai pemain baharu dalam industri kandungan kreatif tanah air, pihak D’Alphalegacy amat teliti dan komited dalam mengatur strategi percaturan kerana penonton kini semakin bijak menilai karya yang berkualiti dan terbaik untuk tontonan mereka, lebih-lebih lagi dengan lambakan pilihan kandungan di pelbagai platform.

Kami cukup berbesar hati dan gembira dengan penerbitan naskah ‘Frontliner’ yang menjadi antara taruhan awal D’Alphalegacy kerana karya ini bakal menjadi titik tolak permulaan yang positif buat kami.

Kami juga sedia maklum bahawa kekuatan sesebuah kandungan itu diukur bukan sahaja berdasarkan kualiti produksi yang bermutu tinggi serta naratif penceritaan kuat tetapi juga harus disokong dengan kehadiran nama-nama handalan yang mampu ‘berhubung’ dengan para penonton menerusi watak-watak yang mereka terjemahkan dalam bentuk lakonan yang berkesan.

Selaku penerbit dan penulis skrip naskah ‘Frontliner’, saya sudahpun membayangkan siapa pelakon sesuai yang akan membawakan watak tertentu sejak mula tercetusnya idea untuk menghasilkan naskah ini dan bersyukur kerana ia berjalan lancar mengikut perancangan.

Kombinasi pelakon baharu dan lama yang dipilih adalah berdasarkan kredibiliti, komitmen dan keikhlasan mereka dalam menjayakan setiap watak yang diamanahkan kerana elemen tersebut merupakan tunjang utama yang diperlukan untuk mencipta magis tersendiri bagi mana-mana karya yang dihasilkan. Namun begitu, kami juga tidak menafikan bahawa faktor populariti juga penting kerana ia mampu memberi nilai komersial untuk menarik perhatian penonton. Maka, kesemua elemen ini haruslah bergerak seiring demi kualiti yang cemerlang.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan dan cabaran SOP yang perlu dipatuhi susulan krisis pandemik Covid-19, ‘Frontliner’ berjaya disudahkan hasil kerjasama kreatif dan komitmen semua pihak yang terlibat mengikut jadual. Dari segi pembikinan dan teknikal, kami tidak menghadapi banyak masalah kerana memberi kebebasan sepenuhnya kepada Ajiboy selaku pengarah serta tidak menyekat kreativitinya untuk berkarya. Syabas kami ucapkan kepada beliau yang sanggup menyahut cabaran untuk berkarya di luar kotak dan zon selesa bagi menjayakan naskah ini.”

Razif ‘Ajiboy’ Rashid, Pengarah ‘Frontliner’

Razif ‘Ajiboy’ Rashid, Pengarah ‘Frontliner’, “Menerusi FTV Frontliner, apa yang saya cuba paparkan bukanlah hanya tertumpu kepada pengorbanan pejuang barisan hadapan di lapangan tugas tetapi lebih kepada konflik dalaman yang dialami oleh mereka. Cabaran dan tanggungjawab yang harus mereka pikul amat berat. Namun mereka harus kuat dan tabah untuk terus berjuang. Sebagai mana masyarakat yang rata-rata tertekan akibat pandemik Covid-19, golongan frontliner juga turut tertekan kerana mereka juga mempunya keluarga dan masalah seperti kita yang mungkin tidak disedari oleh orang lain. Di sebalik pengorbanan mereka sebagai frontliner, wujud pengorbanan dan konflik dalaman lain disebaliknya.

Selain itu, pelbagai isu-isu sampingan sewaktu fasa PKP termasuk isu golongan kluster tabligh dan kluster kayangan yang sebenarnya turut berasa tertekan juga diselitkan untuk merancakkan lagi keseluruhan penceritaan. Mesej utama yang ingin disampaikan menerusi naskah ini ialah tidak kira apa sahaja rintangan dan dugaan yang melanda, kita tidak boleh menghukum seseorang kerana setiap permasalahan pasti ada sebabnya.”

Sinopsis ‘Frontliner’

Ketika dunia sedang dilanda pandemik Covid-19, Malaysia telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan fasa kritikal PKP bagi memutuskan rantaian wabak tersebut daripada terus menular. Pengorbanan wira barisan hadapan yang bekerja keras membantu menangani Covid-19 adalah sesuatu yang tidak dapat dibalas.

Naskah ‘Frontliner’ yang diinspirasikan daripada pelbagai kisah benar seperti pengorbanan seorang ibu yang sakit tetapi harus membenarkan anak berkorban demi negara walaupun jauh di sudut hatinya tidak bersetuju, pengorbanan seorang suami yang bertugas sebagai pegawai polis dan harus berhadapan dengan masyarakat setempat setiap hari serta pada masa yang sama harus mendengar keluhan hati isterinya yang tertekan dengan beban kewangan di tempat kerja kesan akibat Covid-19. Pengorbanan seorang doktor yang terpaksa berjauhan dengan isteri kesayangan yang sedang hamil demi kesihatan dan keselamatan isterinya turut diceritakan.


D’ALPHALEGACY (M) SDN. BHD. ialah sebuah syarikat produksi yang menerbitkan filem dan muzik yang turut aktif dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental menerusi anak syarikat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) LOVE YOURSELF ASSOCIATION. Badan NGO ini ditubuhkan untuk membawa perubahan dalam masyarakat mengenai stigma atau tanggapan negatif mengenai kesihatan mental dengan menyalurkan pemahaman yang mendalam dan penjenamaan di pelbagai rangkaian platform media untuk menyalurkan maklumat secara terus dan dekat kepada para penonton menerusi karya seni kreatif yang lebih ekpresif dan bersifat intelektual.

Selain ‘Frontliner’, syarikat produksi D’Alphalegacy juga telah menerbitkan beberapa naskah seni yang bakal menemui para penonton tidak lama lagi. Antaranya termasuklah FTV berjudul ‘Kelaster’ yang dijadualkan untuk bersiaran di platform Astro First Eksklusif bermula 17 September ini serta filem ‘Bisikan’ yang kini masih lagi dalam proses suntingan untuk siaran pawagam bagi tahun 2021.

Bukan itu sahaja, D’Alphalegacy juga turut menerbitkan tiga buah single baharu yang dicipta khusus sebagai lagu runut bunyi (OST) untuk filem ‘Bisikan’ berjudul ‘Hujan’ nyanyian Altimet dan Mimi Fly, ‘Kan Ku Sudah Kata’ (Mimi Fly) dan ‘Jalan Pulang’ (Black).

Lebih membanggakan, D’Alphalegacy juga merupakan produksi pertama di Asia yang pernah merakamkan video muzik sepenuhnya menggunakan telefon pintar iPhone di dalam suasana hujan untuk single ‘Hujan’ dan ‘Kan Ku Sudah Kata’. Single ‘Hujan’ beserta video muzik tersebut akan dilancarkan pada 10 Oktober 2020.

Selain itu, D’Alphalegacy juga turut menerbitkan video muzik untuk single terbaharu Black berjudul ‘Sabar’ yang akan diangkat sebagai lagu runut bunyi untuk FTV ‘Frontliner’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *