‘Pencinta Setiamu’ Single Terbaru Dari Usop

pencinta setiamu

‘Pencinta Setiamu’ Single Terbaru Dari Usop | Setelah berjaya meraih tontonan sebanyak 18 dan 15 juta menerusi lagu ‘Selamanya’ dan ‘Aku Yang Bersalah’ di laman YouTube Rocketfuel Network, penyanyi muda berbakat besar yang berasal dari Kulim, Kedah dan merupakan Naib Juara rancangan Mentor Milenia 2017, Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor atau lebih dikenali dengan panggilan Usop kembali mengegarkan industri muzik tanah air sekali lagi dengan single terbaharu berjudul ‘Pencinta Setiamu’.

Hasil ciptaan komposer-komposer hebat seperti Aepul Roza, Argo, Sharul Kamal dan Daus SRK, lagu ini lari dari kebiasaan lagu-lagu ballad yang sering dinyanyikan oleh beliau.

Peserta rancangan Big Stage 2020 yang kini sedang giat berlangsung di saluran Astro Ria ini berkata, “Lagu ‘Pencipta Setiamu’ menceritakan tentang seorang jejaka yang merasakan dialah yang paling tampan di kampungnya, dengan berbekalkan kemewahan dan senyuman yang menawan, dia berjaya menggoda beberapa gadis di kampungnya walaupun sudah mempunyai beberapa teman wanita lain.

Saya anggap lagu ini ‘fun’ dengan sedikit elemen yang gila-gila dan mempunyai unsur jenaka yang amat diperlukan tatkala kita berada di dalam fasa PKP yang getir, dan adakalanya kita perlu berhibur untuk menceriakan suasana.”

Usop "Pencinta Setiamu"

Mengulas lanjut tentang single ini, Usop menerangkan, “Idea untuk lagu ini sebenarnya dicetuskan oleh Encik Feros Sayna (Ketua Label Rocketfuel Entertainment) sendiri yang merasakan saya perlu keluar dari zon selesa dan menonjolkan karakter sebenar saya yang lebih kelakar dan mencuit hati.

Maka terhasillah ‘Pencinta Setiamu’ dengan genre ska yang rancak bagi membangkitkan mood ‘happy’ buat sesiapa yang mendengarnya.”

Proses rakaman lagu ‘Pencinta Setiamu’ yang memakan masa selama sebulan telah pun dilakukan sebelum PKP lagi, beliau memberitahu, “Setiap komposer yang terlibat dalam penghasilan lagu ini sangat profesional kerana mereka bijak menaikkan mood dan karakter Usop yang agak pemalu agar lebih bebas dalam merakamkan lagu ini.”

Beliau turut menambah, “Saya berharap agar single ini dapat diterima ramai dan menghiburkan semua peminat saya di luar sana dan pencinta muzik tanah air khususnya kerana kali ini saya tampil dengan genre yang lebih ‘happy’ berbanding lagu-lagu saya yang sebelumnya.”

Usop dengan Single terbaru "Pencinta Setiamu"

Lagu ‘Pencinta Setiamu’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music bermula 28 Ogos 2020. Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Pencinta Setiamu’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment pada hari yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *